Dua
bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi punca kejatuhan kerajaan
negeri Melaka akan diambil sebagai calon Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Ketua
Pembangkang itu mengesahkan keputusan untuk menerima dua ADUN tersebut bertanding
dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor
Azman Hassan walaupun mendapat tentangan daripada rakan parti dalam PH yang
keberatan dengan langkah tersebut.
“Setakat
saya faham, PKR pilih satu, Amanah pilih satu, walaupun akan dimuktamadkan
lewat malam ini atau esok pagi sebelum umumkan calon.
“Saya
mohon maaf ada berbeza pandangan dengan pihak yang selama ini konsisten
menyokong kita,” katanya pada sidang media berkenaan PRN Melaka secara maya di
Facebooknya.
Anwar juga mempertahankan keputusan untuk menerima kedua-dua
ADUN tersebut sebagai calon PH atas alasan mereka adalah wira kerana mahu
mengembalikan mandat asal sebelum PH tumbang di Melaka.
“Pilihan raya memberi mandat pada PH. Mereka berundur
daripada parti mereka untuk mengembalikan mandat pada PH. Itu naratifnya.
“Walaupun ada berbeda pendapat ada yang tak setuju. Saya
hanya sampaikan alasan, naratif yang dikemukakan dalam mesyuarat PH,” katanya.
PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri
pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik
sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Dua lagi bekas ADUN yang menarik sokongan adalah Datuk
Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad
(Bersatu-Teluk Mas).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN
Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal,
16 November.