BN SAH TANDING SEMUA 28 KERUSI, ISMAIL SABRI GAGAL DALAM MISINYA MENCARI JALAN DAMAI

 

BN pagi tadi mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding dalam PRN Melaka, 20 November ini.

Tanpa terkecuali walau satu kerusi ditinggalkan kosong atau dalam erti kata lain, tiada lagi ruang untuk perundingan atau kompromi dengan parti lain, BN mengumumkan bertanding semua 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Daripada kesemua 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, UMNO bertanding 20 kerusi, MCA 7 kerusi dan MIC 1 kerusi.

Dengan pengumuman calon ini beserta penegasan Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah PRN Melaka, Mohamad Hasan bahawa gabungan itu akan bertanding solo dan tidak akan bekerjasama dengan sesiapa, maknanya soal bekerjasama, baik dengan Pas, Bersatu atau PN, sudah tidak berbangkit lagi.

UMNO dengan ini kekal bersama BN, maka Pas dan Bersatu juga bolehlah meneruskan perjuangan serta bertanding atas tiket PN sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.

Di sebalik adanya seruan agar tiga parti Melayu dalam kerajaan itu saling bekerjasama dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sendiri menawarkan diri untuk menjadi jururunding mencari jalan damai, UMNO dengan tegas memberi isyarat menolak dengan paling awal mengumumkan senarai calonnya.

Bermakna, dalam hal ini Ismail Sabri telah gagal sama sekali dalam usahanya mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Kenyataan Ismail Sabri pada 30 Oktober lalu bahawa beliau akan berusaha mencari jalan agar parti-parti dalam kerajaan tidak bertembung sesama sendiri jelas tidak dipedulikan dan tidak dipandang sikit pun oleh kepimpinan UMNO.

UMNO tetap terus dengan agenda untuk bertanding solo, meski Ismail Sabri, demi keselesaan jawatannya, lebih senang jika ada kompromi serta kerjasama.

Ismail Sabri selepas ini sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru daripada berlaku.

Usahanya telah gagal, malah kedudukannya sebagai Perdana Menteri terbukti tidak mampu memberi sumbangan agar suaranya lebih didengari.

Setelah BN mengumumkan senarai lengkap calonnya, Pas dan Bersatu yang menganggotai PN sudah tiada pilihan lain lagi melainkan harus meletakkan calon pilihan di kerusi masing-masing.

Bertembung dan berlawanlah mereka sesama sendiri dalam pilihanraya negeri, walau ketiga-tiga parti duduk bersama dan satu dalam membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Kerajaan Keluarga Malaysia sudah boleh ditukar nama kepada Keluarga Huru-Hara. –


ShahbudinHusin 06/11/2021.