Adakah Umno bersaing dalam ruang politik yang sesak?

 

MUSTAFF K ANUAR


Jika ada keperluan untuk perpaduan orang Melayu, ia patut berlegar di sekitar prinsip penting melibatkan keadilan, kepercayaan, belas ihsan serta kasih kepada orang miskin dan tertindas




Parti Kuasa Rakyat yang dilihat merentasi kaum serta berideologi sosialis dilancarkan baru-baru ini manakala tokoh Umno Tengku Razaleigh Hamzah pula cuba untuk menghidupkan semula Umno Lama.

Perkembangan ini cukup mengkhuatirkan timbalan presiden Umno, Mahdzir Khalid kerana beliau merasakan ruang politik di Malaysia sudah terlalu banyak parti berasaskan Melayu.

Menteri luar bandar ini gusar ia akan membahagi serta memecahkan perpaduan Melayu, yang, pada fikirannya, tidak baik kepada keseluruhan masyarakat.

Parti Kuasa Rakyat dipimpin oleh abang kepada Ismail Sabri Yaakob iaitu Kamarazaman Yaakob.

Melayu, pada Mahdzir, hanya memerlukan Umno, bagi meneruskan dan mempertahankan kepentingan mereka seperti yang seringkali dilaungkan.

Namun, begitulah lumrah demokrasi dengan kebebasan untuk keterlibatan, yang bermakna sesiapa pun dapat membentuk parti politik jika mereka mempunyai sumber untuk melakukannya.

Di dalam ‘pasar’ politik inilah parti akan bersaing untuk memenangi minda dan hati pengundi bagi memenuhi kemahuan mereka untuk memegang tampuk kuasa.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter

·         Become an Aliran member

Begitulah, secara teorinya. Muda yang baru dibentuk masih berusaha untuk didaftarkan secara sah oleh Jabatan Pendaftaran, yang jatuh di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Menafikan partinya untuk wujud dan bersaing di lapangan pengundian sesuatu yang tidak demokratik.

Berlatarbelakangkan hal ini, pujian perlu diberikan kepada anggota jawatankuasa pusat Umno Mohd Puad Zarkashi yang menyatakan kerajaan perlu meluluskan pendaftaran Muda.

Beliau menambah bahawa kerajaan tidak patut gentar kepada presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Ia patut membenarkan parti baru ini untuk mencari tapak di lapangan politik Malaysia.

Berkongsi pendapatnya, Mahdzir nampak tegas menyatakan secara tersirat bahawa Umno patut mempunyai monopoli terhadap sokongan politik dan kesetiaan masyarakat Melayu pada ketika ini.

Atau dengan kata lain, Melayu perlu dilihat seperti apa adanya, atau secara salahnya, sebuah kolektif monolitik.

Seperti komuniti etnik lainnya, jelas bahawa kerencaman wujud di dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

Umno sendiri yang terpecah, merupakan contoh jelas, apatah lagi sekarang, bahawa tiada makna terhadap perpaduan Melayu yang digembar-gemburkan itu.

Misalnya, terdapat orang Melayu yang termakan dengan nasionalisme etno-keagamaan manakala ada yang dilihat terbuka pada kerencaman etnik dan inklusif. Ada juga yang suka songlap manakala ramai yang menolak kelakuan sebegitu.

Jika ada keperluan untuk perpaduan orang Melayu, ia patut berlegar di sekitar prinsip penting melibatkan keadilan, kepercayaan, belas ihsan serta kasih kepada orang miskin dan tertindas, seperti pada kebebasan.

Prinsip sebegini juga pastinya dapat menyatukan warga Malaysia dari pelbagai etnik – pendekatan perpaduan merentas kaum. Ini menjelaskan mengapa terdapat ahli politik Melayu yang memimpin atau menyertai parti yang tertarik kepada idea ke-Malaysia-an yang sejagat.

Apa yang ditanggapi sebagai kesesakan dalam ruang politik, tidaklah begitu sesak seperti yang digambarkan sebenarnya kerana, secara kualitatif dan ideologinya, kebanyakan parti berasaskan Melayu mempunyai jampi yang sama iaitu “Melayu, agama dan tanah air”.

Dalam kata lain, Umno terpaksa bersaing dengan parti lain yang juga mahu mempertahankan Melayu – cuba bernafas dengan yang lain dalam kolam yang sama.

Terlalu banyak yang dah disebut dan dilakukan atas nama Melayu selama ini, yang seringkali meninggalkan Melayu tetap miskin, serta juga bumiputera lainnya, mengakibatkan mereka terpinga-pinga mengapa mereka masih tertinggal secara sosioekonominya.

Kerana itulah jika mereka mahu terus hidup secara politiknya, parti seperti Umno seperti mahu membezakan diri mereka dari yang lainnya dengan berusaha untuk membawa suara mereka yang miskin dan terpinggir, bukannya elit yang berkuasa dan kaya.

Apatah lagi, ramai yang terdesak dan terdedah sekarang dapat membezakan politikus yang benar-benar dan acah-acah mahu berkhidmat kepada rakyat Malaysia dalam keadaan epidemik Covid.

Barangkali, ia sesuatu yang berguna jika kita dapat memerhati adakah lapangan politik itu sebenarnya sesak dengan politikus yang meletakkan kepentingan peribadi mereka berbanding rakyat. – The Malaysian Insight

Terjemahan oleh: Zikri Rahman