RUGI BESAR JIKA PN TIDAK NAMAKAN CALON KETUA MENTERINYA


 Dalam tiga parti utama yang bertanding dalam PRN Melaka sekarang ini, hanya PN yang masih belum lagi menamakan calon Ketua Menterinya.

BN telah mengumumkan Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri sementara yang ada sekarang akan terus dikekalkan lagi jika gabungan itu menang pada pengundian 20 November ini.

PH pula mengumumkan Adly Zahari, Pengerusi PH Melaka sebagai calon yang akan diketengahkan sebagai Ketua Menteri.

Tetapi, PN secara jelas memaklumkan tidak akan mengumumkan siapa yang menjadi calon Ketua Menteri mewakili gabungan itu.

Diberitakan, mereka mahu menjadikan siapa calon Ketua Menteri PN itu sebagai misteri buat ketika ini, walaupun ada beberapa nama dikatakan telah dikenalpasti.

Soalnya, kenapa PN mahu berahsia dan menjadikannya misteri?

Bukankah calon Ketua Menteri itu penting didedahkan supaya rakyat mengetahui serta dalam masa yang sama boleh menilai kelayakannya sebagai bakal ketua kerajaan negeri?

Kalau tidak diumumkan, bagaimana rakyat mahu menilainya?

Jika tiada calon Ketua Menteri yang diumumkan, bagaimanakah juga rakyat ada keyakinan terhadap PN untuk mentadbir Melaka?

Tentulah mustahil keyakinan atau undi hendak diberi kepada PN kalau tidak diketahui siapa bakal jadi Ketua Menterinya.

Sebab itu, PN sebenarnya telah melakukan kesilapan besar dengan enggan menamakan siapa calon Ketua Menteri mereka.

Di mata umum, dengan sikap sedemikian, pengundi lebih mudah beranggapan bahawa PN tiada calon yang berkelayakan untuk diketengahkan yang bermakna gabungan itu tidak bersedia untuk menjadi kerajaan negeri.

Apabila dilihat tidak bersedia, ertinya lebih sukar untuk rakyat memberi undi kepada PN.

Mahu tidak mahu dan sama ada boleh menang atau tidak, PN sebetulnya tidak boleh lari daripada keperluan menamakan calon Ketua Menterinya.

Selain lebih mungkin tidak diberi undi kerana rakyat tidak yakin, lebih penting lagi, dengan menamakan calon berkenaan juga akan membolehkan pemimpin yang dinamakan itu mencipta rekod tersendiri dalam pencapaian karier politiknya.

Dengan dinamakan sebagai calon dan kemudian ditakdirkan PN menang PRN Melaka ini, maka pemimpin berkenaan akan lebih mudah menjadi Ketua Menteri yang sebenar.

Bila PN kalah pula, setidak-tidaknya pemimpin berkenaan ada rekod pernah dinamakan sebagai calon Ketua Menteri, meski partinya tidak menang pilihanraya.

Kepada anak cucu kemudiannya, bolehlah juga membanggakan diri sebagai “bekas bakal Ketua Menteri Melaka”.

Tetapi, kalau dinamakan sebagai calon Ketua Menteri pun tak pernah, bertanding pula kalah, apa yang mereka nak banggakan di kemudian hari kepada anak cucu?

Tak kesiankah Mahiaddin kepada mereka? – ShahbudinHusin 12/11/2021.