Calon Ketua Menteri Melaka dari PN masih misteri

 


Calon Ketua Menteri Melaka dari PN masih misteri


Perbincangan untuk menentukan siapa calon Ketua Menteri Melaka dari Perikatan Nasional (PN) telah berlangsung, namun identitinya biarlah terus menjadi misteri, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Malah, menurut Wan Saiful, pakatan berkenaan juga sudah mengenal pasti calon yang paling ideal untuk mengetuai jentera pentabiran negeri, seandainya PN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Namun, Wan Saiful berkata, nama calon Ketua Menteri akan diputuskan di peringkat tertinggi PN setelah mendapat persetujuan daripada kesemua parti komponen.

“Fokus Perikatan Nasional adalah untuk memenangi PRN ini, kemudian baru kita akan bincangkan,. Dan kita (Perikatan Nasional Melaka) serahkan calon Ketua Menteri kepada peringkat tertinggi, tak sesuai untuk saya umumkan sekarang.

“Perbincangan telah berlaku, ada idea mengenai siapa yang patut dinamakan. Tapi lebih baik ditunggu dahulu. Malam ini ada sesi besar, tuan guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), akan bercakap, Tan Sri Muhyiddin bercakap, mungkin sesuai kita tunggu. Identiti biarlah jadi misteri,” katanya lagi.

Wan Saiful berkata demikian di sidang media Perikatan Nasional sempena PRN Melaka, di Hang Tuah Jaya di sini, hari ini.

Memetik laporan Astro Awani, turut menyertai sidang media itu ialah Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam yang akan bertanding di DUN Ayer Keroh; Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek (DUN Duyong) dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Mohd Yadzil Yaakub (DUN Bemban).

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, PN senada dengan parti-parti lain, termasuk Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) yang mengekang proses kempen kali ini.

“Kita nak memastikan mesej kita sampai kepada rakyat, sampai kepada seluruh pengundi. Tetapi ada sedikit kekangan dengan SOP yang begitu ketat, oleh SPR. Mungkin ada ruang untuk SPR longgarkan SOP yang dikenakan, pastikan kempen berjalan dengan adil dan saksama.

“Bukan kita yang sebabkan kesukaran dan cabaran dalam negeri ini, ada pihak lain. Bagaimanpun, kita pastikan mesej kita, berjalan dengan baik, kita nak menceritakan, kejayaan yang dicapai sewaktu era Perikatan Nasional,” katanya lagi.