Sukar kempen di Melaka, mungkin pengundi tidak keluar mengundi?
Peraturan berkempen atau Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang terlalu ketat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin menyebabkan jumlah keluar mengundi rendah pada 20 November dan dipersoalkan keputusannya.
Bagi Prof Madya Dr Hamdan Datuk Mohd Saleh dari Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) Unisel, pihak berkuasa atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlulah mengkaji peraturan yang dilaksanakan sepanjang minggu pertama berkempen bagi diperbaiki untuk minggu terkahir, sebelum hari pembuangan undi.
Katanya, kelembapan kempen dan calon tidak boleh memperkenalkan diri secara normal mungkin menyebabkan pengundi kurang berminat untuk membuang undi.
“Kalau kita lihat naratif kempen, ini satu yang unik. Apabila kita tengok kepada SOP yang ketat hanya untuk kempen, tetapi pantai di Melaka penuh, pusat beli belah penuh.
“Dalam masa sama kita lihat, kalau orang boleh bercuti di bandar Melaka, itu penuh. Kenduri kahwin boleh, kalau ceramah tak boleh. Itu masalahnya, seolah-olah Covid ini kenal, ini politik yang ini bercuti, dia tak kacau.
“Itu masalahnya bila tak konsisten. SOP itu bagus tetapi bagaimana SPR mahu memastikan tahap keluar mengundi tinggi, sekurang-kurangnya 70%?
“Apa akan berlaku kalau macam PRK sebelum ini 40%. Ini Pilihan Raya Negeri,” katanya dalam forum maya anjuran IDE, malam tadi.
Selain itu, Dr Hamdan juga mengulas mengenai strategi parti-parti yang bertanding, terutama yang memerintah di peringkat pusat tetapi berseteru di peringkat negeri.
Katanya, strategi di Melaka mungkin menjadi strategi yang akan digunakan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 kelak.
“Strategi juga menarik. PN keluarga tetapi di Melaka mereka seteru
“Ini satu yang cukup menarik. Apakah akan berlaku selepas ini? Ini satu eksperimen? Ini juga (saya rasa) akan menjadi penentu PN dan BN akan berseteru (atau tidak) untuk PRU 15
“Dalam masa sama kita juga lihat konsensus berlaku antara satu sama lain. Tetapi ada yang akan terkorban dalam hal ini. Bagaimana untuk kekal relevan dari segi logo dan sebagainya?
“Gerakan dan MIC yang tidak bergerak pun dapat kerusi yang banyak. Itu yang saya maksudkan konsesusime. Gerakan tidak menang tiba-tiba di Melaka dapat kerusi. Itu natijah bila masuk PN.
“Cuma selepas ini apa akan berlaku? Contoh Pas, mereka bertanding 8 kerusi. Bandingkan kerusi yang diberi adalah kerusi yang sebahagiannya Pas hilang deposit seperti di Linggi, Pas cuma dapat 941 undi (PRU 15). Kenapa Pas tidak bertanding di kerusi yang lebih besar di Klebang yang 2,000 lebih dia dapat, atau di Serkam?
“Untuk kekal relevan itu masalah kerana PN akan bergantung sepenuhnya pada jentera Pas. Begitu juga MIC dan MCA bergantung sepenuhnya kepada Umno,” katanya.
Bagamanapun, hal yang menarik dalam persaingan politik antara PN, BN dan Pakatan Harapan (PH), menurut Dr Hamdan, apakah PH akan menjadi ‘pembunuh senyap’ dan merangkul kejuaraan dalam PRN kali ini.
“Adakah PH di sini menjadi silent killer? Ini yang menarik.
“Ini bergantng kepada minggu kedua kerana strategi politik yang agak mahir antara parti bertanding. Adakah akan guna media sosial? Seluruh Melaka adakah akses internet kuat?
“Di bandar Melaka saya rasa boleh. Sekitar lain di Melaka saya rasa ada masalah. Strategi ini dalam PRU akan datang akan digunakan dengan baik, dalam kita berhadapan dengan endemik dan akan menjadi kaedah baharu kepada parti yang bertanding,” katanya lagi.