UMNO JANGAN TUNGGU PRU15, KETETAPAN PAU PUTUS HUBUNGAN DENGAN BERSATU MESTI DIMULAKAN DI PRN MELAKA

 

Sebagaimana kita sedia maklum dan sedar, UMNO telah menetapkan keputusan untuk tidak mahu bekerjasama dan putus hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.

Ketetapan tersebut dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang bermakna ia adalah kehendak akar umbi parti itu sendiri.

Meskipun PRN Melaka 20 November ini adalah pilihanraya yang terpisah daripada gelombang PRU15 yang entah bila akan diadakan, tetapi sebagai parti yang didokong oleh kekuatan akar umbi, UMNO tidak harus goyah dengan ketetapan yang telah dimuktamadkannya itu.

Malah, UMNO seharusnya menghormati dan sentiasa menjunjung tinggi ketetapan putus hubungan itu, walaupun ada segelintir pemimpin bernafsu buas cuba mengingkarinya.

Untuk itu, sementara ketetapan PAU itu mesti dilaksanakan dan dijadikan kenyataan dalam PRU15 akan datang, adalah mustahak ketetapan itu mula dilaksanakan dalam PRN Melaka ini.

Ia bukan saja untuk menunjukkan UMNO benar-benar serius dengan ketetapan tersebut, malah sebagai bukti ia adalah keputusan yang mampu membuahkan kejayaan kepada BN.

Mahu tidak mahu, UMNO bersama komponen BN harus bekerja keras serta bertungkus lumus memastikan kejayaan tersebut.

Tetapi, jika dalam PRN Melaka ini pun UMNO tidak berani berpegang kepada ketetapan itu, sudah pasti ia turut membuka jalan kepada pemimpin-pemimpin rakus berjiwa petualang dalam parti untuk menggagalkannya dalam PRU15 akan datang.

Kalau itu itu berlaku, di mana maruah UMNO akhirnya?

Di mana juga nilai kekuatan akar umbi jika ketetapan mereka boleh dipadamkan hanya oleh kekuatan segelintir pemimpinnya yang berjiwa rakus yang hanya ingin menyelamatkan nasib kawan-kawan dalam Bersatu berbanding mengangkat martabat perjuangan UMNO itu sendiri.

Selain itu, dengan melaksanakan ketetapan PAU itu dalam PRN Melaka ini lagi, UMNO akan dapat melihat di mana kelemahan, kekurangan serta apa yang perlu dibaiki bila tiba PRU15 nanti.

Dalam apa perkara sekali pun, proses menguji adalah penting untuk menjadikan apa yang disasarkan benar-benar tercapai dan anggaplah PRN Melaka ini sebagai proses ujian kepada ketetapan PAU itu.

Jika tidak berjaya pun ujian itu di PRN Melaka, tidak mengapalah kerana masih ada masa untuk memperbaiki dan melihat di mana kelemahannya sebelum ketibaan PRU15.

Namun, jika terus dalam PRU15 saja baru ketetapan PAU itu hendak dilaksanakan dan ia tidak melalui apa-apa proses ujian sebelumnya, bila masa lagi untuk UMNO mahu melihat ada kelemahan dan memperbaikinya? 


 ShahbudinHusin 22/10/2021.