Kapten Speedy dan arak jenama ‘Timah’
Kecoh di media sosial berkenaan produk minuman keras berjenama ‘Timah’ yg menggunakan imej Kapten Speedy. Ikon ini telah meninggalkan kesan yg amat mendalam kepada sejarah negara kita. Salah satunya adalah kisah hubungan beliau dan Ngah Ibrahim.
Perang Larut antara puak Ghee Hin dan Hai San yang tidak berkesudahan menyebabkan Ngah Ibrahim bertekad untuk mengambil Kapten Speedy atau nama penuhnya Tristram Charles Sawyer Speedy, yang dilahirkan di India. Pernah bertugas sebagai tentera British India di New Zealand dan di Ethopia. Kapten Speedy ketika diambil bekerja pada bulan Julai 1873 adalah bekas Pesuruhjaya Polis Pulau Pinang. Ketika itu umurnya 37 tahun.
Ngah Ibrahim menawarkan gajinya sebanyak $10,000 – $15,000 serta berkongsi separuh hasil cukai di Larut. Rumahnya hanya bersebelahan rumah Ngah Ibrahim.
Hubungan mereka berdua cukup rapat, Kapten Speedy fasih berbahasa Melayu dan pernah menjadi ketua rombongan Ngah Ibrahim meminang anak Tok Kaya di Klang. Peristiwa ini dirakam oleh cucu Ngah Ibrahim iaitu Hajah Wan Yahanis bt Wan Mohd Isa.
Hubungan yang rapat, ini digunakan sepenuhnya oleh Kapten Speedy untuk menyalurkan segala maklumat kekayaan Ngah Ibrahim kepada pihak British. Kapten Speedy telah bertindak sebagai “agen bermuka dua” di antara pihak British dan Ngah Ibrahim.
Cita-citanya tercapai dengan temetrainya Perjanjian Pangkor, 20 January 1874 yang mana dalam fasal yang ketujuh menyebut “Maka pemerintah Larut itu pun hendaklah ada berapit kepadanya seorang Assistant Resident iaitu seorang besar British yang mengerjakan pekerjaan di bawah Residen Perak itu, dengan sama kuat kuasanya, dan dia itu terperintah oleh Resident yang tersebut itu sahaja.” Setelah itu Kapten Speedy dilantik sebagai Penolong Residen Perak.
Tetapi Kapten Speedy hanya memegang jawatan Penolong Residen beberapa tahun sahaja, pada 1877 dia dipindahkan ke Durian Sebatang, atas sebab tertentu. Tugasannya di Durian Sebatang dianggapnya hanyalah sebagai tanda meminggirkannya dalam tugas-tugas utama.
Akhirnya Kapten Speedy membuat keputusan untuk meninggalkan Perak buat selama-lamanya dan berpindah ke Sudan dan seterusnya kembali ke Ethopia. Beliau menggunakan strategi yg sama utk rapat dgn Raja Ethopia dan berkhidmat sebagai guru bahasa dan penjaga anak raja di Ethopia.
Sumber: Biografi 9 Orang Pemegang Gelaran Tengku Menteri, Talib Samat