Pemuda
AMANAH Kedah desak Pengerusi MADA selesaikan isu harga, kualiti benih padi
Oleh MOHD ALI HASHIM / October
22, 2021
Pemuda AMANAH Negeri
Kedah mendesak supaya Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman segera mengambil
tindakan agar pesawah tidak lagi berhadapan dengan isu harga dan kualiti benih,
selain memastikan keperluan semasa benih padi dan baja mencukupi seiring dengan
kalendar tanaman padi bermusim.
Pengerusi Biro Pertanian
dan Luar Bandar, Mohd Najmi Ghazali berkata, perjuangan isu pesawah dan penanam
padi sememangnya tidak asing bagi Pas, namun semuanya menjadi biasa kepada
parti itu setelah menjadi kerajaan walaupun sebelum ini mereka lantang bersuara
dan berdemonstrasi bagi membela nasib petani khususnya di negeri Kedah.
Menurutnya, jawatan
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang disandang Ahli Parlimen
Sik itu hanyalah sekadar ‘rubber stamp’ kepada dasar-dasar kerajaan yang
langsung tidak membantu pesawah.
“Sebagai contoh menggunakan
jentera MADA bagi kepentingan politik Pas ketika banjir kilat di Yan dan Merbok
tempoh hari dengan sewenang-wenangnya.
“Sewaktu
menjadi kerajaan, Pemuda AMANAH Negeri Kedah jelas menolak sistem tender
terbuka yang diumumkan oleh kerajaan ketika itu hingga akhirnya kerajaan
memberikan tender terus kepada NAFAS.
“Walau
bagaimanapun Pas tatkala itu sanggup bersekongkol dengan Ahli Parlimen Air
Itam, Wee Ka Siong, kononnya kerajaan tidak telus dengan memberikan tender
secara runding terus kepada NAFAS.
“Kini,
Pas terus mengambil sikap langkah ke belakang apabila isu benih padi tidak
berjaya diselesaikan,” ujar beliau dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline.
Tambah
beliau lagi, isu benih padi bukan saja tidak dapat diselesaikan bahkan tiada
kawalan langsung terhadap harga dan kualiti benih padi.
Kata Najmi lagi, NAFAS yang
sepatutnya dikekalkan sebagai pengedar tunggal telah ditarik balik status
tersebut kononnya atas sebab gagal menunjukkan prestasi yang baik, sedangkan
punca sebenar masalah tersebut tidak diselesaikan.
Sementara
itu, Ahmad Tarmizi juga didesak supaya melepaskan jawatan sekiranya kemelut ini
masih lagi tidak dapat diselesaikan dengan tuntasnya.