BERITA PELESU TENTANG NAJIB- JANGAN KATA PADA NAJIB KERANA NAJIB TAK CURI PERABUT DAN BELANJA MEWAH

 


Jangan fitnah saya berkenaan belanja RM65 juta ubah suai Seri Perdana, kata Najib



Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata, DAP ‘memfitnahnya’ mengenai belanja pengubahsuaian Seri Perdana kerana salah faham mengenai Belanjawan 2011.

PETALING JAYA: Najib Razak menegaskan beliau tidak membelanjakan RM65 juta untuk mengubahsuai Seri Perdana ketika menjadi perdana menteri, setelah Muhyiddin Yassin menerima kecaman kerana membelanjakan lebih RM38 juta untuk kerja-kerja baik pulih kediaman rasmi.

Dalam catatan di Facebook, Najib berkata, DAP menuduhnya pada 2010 bahawa beliau membelanjakan RM65 juta untuk kerja-kerja pengubahsuaian di Seri Perdana, tetapi mengaitkannya dengan salah faham mengenai Belanjawan 2011.

“Walaupun pernah difitnah DAP pada 2010 (akibat salah faham mereka terhadap Bajet 2011), bahawa saya nak ubah suai Seri Perdana dengan kos RM65 juta, ini tidak berlaku.

“Sekiranya sahih, cerita bahawa ‘Najib belanja RM65 juta untuk ubah suai Seri Perdana’ akan diulang-ulang mereka selama bertahun-tahun lamanya, tapi ini tidak berlaku.

“Sebaliknya, tuduhan itu terhenti sahaja masa itu. Jadi, jangan fitnah saya lagi berhubung tohmahan RM65 juta itu,” katanya.

Dakwaan ini timbul kembali setelah Muhyiddin dikecam kerana membelanjakan RM38.5 juta bagi kerja-kerja baik pulih bahagian-bahagian usang dan rosak di kediaman rasmi perdana menteri.

Muhyiddin berkata, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac 2020, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal di Seri Perdana, termasuk kebocoran, sistem pencahayaan lama, keadaan fizikal lantai dan bumbung yang rosak atau usang.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana terlalu usang,” katanya.

Najib turut menyebut catatan oleh sebuah halaman Facebook mesra Bersatu yang menuduhnya “merosakkan” Seri Perdana.

“Dengan mendedahkan beberapa gambar keadaan Seri Perdana dengan lantai yang basah, page pro-PN Otai tuduh saya dan keluarga saya banyak merosakkan Seri Perdana.

“Tapi jelas di sana tertulis keadaan tersebut berlaku akibat hujan lebat pada November 2020.

“Saya tak tinggal di sana sejak lebih tiga tahun dahulu. Jadi bagaimana pula saya dikatakan bertanggungjawab atas keadaan dalam gambar-gambar pada Nov 2020 pulak?”