Kalau tak mahu tinggal di Seri Perdana, buat apa lulus RM38.5 juta, soal Najib
PETALING JAYA: Dua bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin bertelagah berkenaan ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, berjumlah RM38.5 juta, dengan Najib menyindir Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, membuat dakwaan tidak munasabah kerana menafikan beliau enggan menetap di situ ketika menjadi Perdana Menteri.
Najib berkata, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-8 (PM8) yang meluluskan ubah suai serta naik taraf kediaman Seri Perdana, selain mendakwa Muhyiddin ‘tiada niat’ untuk tinggal di sana.
“Habis tu, nak belanja RM38.5 juta untuk apa? Untuk dibiarkan kosong tanpa sesiapa mahu duduk di sana?
“Jangan gunakan saya sebagai alasan sekiranya ianya niat kamu untuk belanja RM38.5 juta untuk kediaman, pada ketika sendiri beritahu rakyat bahawa kerajaan tak ada banyak wang lagi untuk bantu rakyat,” katanya di Facebook sambil memuat naik beberapa lampiran berkaitan.
Najib berkata, selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau dan keluarga diberikan masa beberapa jam sahaja untuk meninggalkan Seri Perdana.
“Pada Ogos 2018 (lampiran), saya tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana. Tapi surat saya tidak dibalas.
“Pada bulan Ogos 2019 (seperti lampiran), saya sekali lagi ulang surat untuk permintaan yang sama,” katanya.
Beliau berkata, selepas 14 bulan, pada 21 Oktober 2020, JPM membalas dan menyatakan mereka bersetuju dengan syarat hanya senarai barang-barang termasuk perabot yang dapat dibuktikan dibeli olehnya dan bukan aset kerajaan dibenarkan diambil semula.
Katanya, beliau diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikan pemindahan sebelum 3 Disember 2020.
“Masa itu, staff (kakitangan) saya pelik kenapa tiba-tiba kita disuruh untuk ambil balik barang-barang tersebut dengan begitu laju.
“Rupa-rupanya seorang pengurus baharu Seri Perdana telah dilantik (yang kami diberitahu merupakan saudara PM8) dan mereka memberitahu kita bahawa PM8 ada rancangan untuk menaik taraf Seri Perdana sebab dia mahu pindah ke sana,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin, hari ini, berkata, beliau menerima laporan dari JPM bahawa terdapat beberapa perabot dan candelier di Seri Perdana adalah milik Najib.
Muhyiddin berkata, beliau tidak tinggal di kediaman rasmi itu ketika menjadi Perdana Menteri, tetapi dimaklumkan ada perabot di situ milik Perdana Menteri keenam itu.
“Ada perabot dan candelier yang dikatakan milik Perdana Menteri keenam.
“Jika perabot itu miliknya seperti didakwa, maka terserah kepada JPM untuk membenarkan beliau mengambilnya,” katanya.