PETALING
JAYA: Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH)
bukanlah penyebab Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri, kata
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Beliau
berkata, perlantikan Ismail adalah kerana beliau mendapat kepercayaan 114 Ahli
Parlimen dan tiada kaitan dengan MoU.
“Mou
ini bukan penyebab Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, beliau jadi Perdana
Menteri atas 114/115 sokongan Ahli Parlimen,” katanya pada Live Facebook Borak
Dahsyat – Kenapa Bising Dalam Parlimen? semalam.
Ahli
Parlimen Shah Alam itu turut menegaskan, MoU antara kerajaan dan PH bukan
bermaksud mereka menyokong Ismail mahupun parti Umno, Barisan Nasional (BN) dan
Perikatan Nasional (PN).
Khalid Samad.
Menurutnya,
MoU tersebut dimeterai adalah sebagai ruang untuk pihak kerajaan dan
pembangkang membuat rundingan agar dapat mencapai persetujuan secara prinsip
terlebih dahulu.
“Kewajipan
kita (PH) di bawah MoU ini hanya dua iaitu nombor satu bila dibentangkan bajet
kita jangan pula buat bahagian untuk menolaknya tetapi ada syarat.
“Syaratnya
ialah sebelum ia dibentangkan maka ia dirundingkan bersama dengan PH dan
mendapat persetujuan secara prinsip terlebih dahulu,” ujarnya.
Dalam
pada itu, Khalid juga menolak dakwaan bahawa PH memeterai MoU adalah kerana
mahu mendapatkan peruntukan, sebaliknya beliau berkata peruntukan hanyalah
salah satu daripada “reform”.
Ujarnya,
Pakatan Harapan tetap akan memainkan peranan sebagai pembangkang untuk semak
dan imbang setiap keputusan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi
memastikan tiada kepincangan berlaku.
“Kerajaan
memerlukan pembangkang untuk bantu mereka, tak bermaksud dah meterai MoU tak
boleh tegur, kita tetap main peranan semak dan imbang.
“Jangan
tuduh kita meterai MoU sebab nak dapat peruntukan, peruntukan hanyalah salah
satu daripada reform,” katanya.