JAMZURI ARDANI
Bank-bank di Afghanistan kini tidak mampu menyediakan wang tunai yang cukup untuk pengeluaran oleh pendeposit. Orang ramai mula beratur di bank-bank di Kabul seawal pukul 3 pagi untuk mengeluarkan wang mereka. Namun mereka hanya dapat mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang sangat terhad.
Di pasar-pasar, orang ramai sudah mula melakukan tukaran barang dalam urusniaga mereka kerana masalah ketiadaan tunai di pasaran. Harga-harga barangan juga melonjak naik.
Dalam pada itu, penduduk Kabul juga dijangka akan terputus terus bekalan air dalam tempuh terdekat akibat musim kemarau dan masalah kewangan yang dihadapi oleh pihak berkuasa bandar Kabul untuk membayar gaji para pekerja yang terlibat. Selain masalah air, perkhidmatan lain seperti bekalan elektrik, pembersihan, kesihatan, dan pendidikan juga dijangka akan terkesan.
Kerajaan baru Afghanistan berhadapan dengan masalah kewangan yang serius untuk memastikan perkhidmatan penting terus berjalan seperti biasa. Dengan ketiadaan bantuan kewangan dari negara luar, kerajaan baru Afghanistan dijangka tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk mentadbir negara tersebut apatah lagi untuk melaksanakan program pembangunan.
Kemahiran berperang hanya penting untuk merampas kuasa. Setelah mendapat kuasa, Taliban memerlukan kemahiran yang berbeza. Setakat ini kabinet baru Afghanistan masih belum membuat apa-apa kenyataan tentang bagaimana ekonomi negara tersebut akan diurus, sedangkan hari demi hari kehidupan rakyat semakin sukar.