Pelantikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal
Azumu sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Bertaraf Menteri hanya akan
membazirkan wang rakyat di tengah-tengah keperluan mendesak untuk menangani kes
Covid 19 dan memperbaiki kemudahan hospital.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, pelantikan
berkenaan tidak akan menguatkan kedudukan PM Mahiaddin Yassin malah sebaliknya
meningkatkan rasa meluat rakyat memandangkan Faizal sendiri tidak popular dan
telah dijatuhkan dari kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.
"AMK menzahirkan rasa dukacita dengan pelantikan Ahmad Faizal
Azumu sebagai Penasihat Khas kepada PM
"Ketika kes harian Covid-19 mencecah 20,000 kes sehari dan
kematian akibat Covid-19 mencecah 10,000, PM Tan Sri Mahiaddin terus bermain
politik dengan mengagihkan jawatan dalam keadaan ekonomi negara sangat
kritikal.
"Apakah justifikasi perlantikan Faizal ketika negara berada
dalam krisis pandemik dan krisis ekonomi paling teruk?" tanyanya dalam
satu kenyataan.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu tertanya-tanya apakah yang mendorong
PM terfikir dengan melantik Faizal menjadi penasihatnya keadaan akan menjadi
lebih baik di tengah-tengah pengangguran rakyat yang parah, malah pengangguran
dalam kalangan graduan mencecah sehingga 22.5%.
"Bagaimana pula dengan nasib puluhan ribu doktor kontrak yang
masih tidak diserapkan dengan penjawatan tetap?
"Berapakah wang rakyat perlu dihabiskan menggaji seorang lagi
Ahli Parlimen selepas Marang dan Bintulu bertaraf Menteri? Bila seseorang
dilantik dengan lantikan bertaraf Menteri, kita bukan hanya bercakap soal gaji
malah elaun-elaun lain termasuk kos pentadbiran.
"Apakah keperluan lantikan ini ketika kerajaan baru sahaja
melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai bilangan anggota
kabinet yang paling besar dalam sejarah negara?" tanyanya.
Akmal menasihatkan Mahiaddin menghentikan tabiat buruknya memberi habuan
kepada sesiapa yang setia tanpa mempedulikan kewangan negara dan kesejahteraan
rakyat.
"Apakah ini sebahagian daripada ‘scheme of things’ bagi
memperkukuh kedudukan PM yang sehingga saat ini masih gagal membuktikan beliau
mempunyai majoriti yang cukup untuk terus mentadbir Putrajaya?
"Kegagalan kerajaan menangani wabak dan pemulihan ekonomi hari ini adalah kerana kerajaan sibuk berpolitik mengagihkan jawatan untuk kekal berkuasa," katanya lagi.