By
LONDON: Individu yang lengkap dua dos vaksin di England masih mempunyai 1/3 kemungkinan dijangkiti Covid-19, menurut kajian populasi berterusan yang diumumkan pada Rabu.
Penemuan terkini itu, daripada satu kajian jangka panjang saintis di Imperial College London dan syarikat penyelidikan pasaran, Ipsos MORI, dibuat berdasarkan 98,233 swab yang diambil antara 24 Jun hingga 12 Julai lalu.
Keputusan swab itu menunjukkan seorang daripada 160 individu dijangkiti Covid-19, dengan kadar prevalens 1.21% bagi responden tidak divaksin dan 0.4% untuk mereka yang divaksin sepenuhnya.
Kajian itu turut mendapati kemungkinan untuk penerima dua dos vaksin menyebarkan virus itu kepada orang lain lebih kecil berbanding mereka yang belum divaksin.
Bagaimanapun, pegawai dan saintis di Britain mengingatkan orang ramai berwaspada selepas kerajaan melonggarkan langkah membendung penularan virus di England pada 19 Julai lalu, termasuk syarat wajib memakai pelitup muka dalam ruangan tertutup tertentu.
Satu dokumen kerajaan Amerika Syarikat yang dibocorkan minggu lalu memberi amaran jangkitan dalam kalangan penerima dua dos vaksin tidak jarang seperti yang difikirkan sebelum ini dan kes sedemikian sangat mudah berjangkit.
Paul Elliott, profesor di Sekolah Kesihatan Awam Imperial College London dan pengarah kajian itu berkata, penemuan itu “mengesahkan data kami terdahulu yang menunjukkan dua dos vaksin memberi perlindungan baik terhadap jangkitan”.
“Bagaimanapun, kami juga dapat melihat masih ada risiko jangkitan kerana tiada vaksin yang 100% berkesan dan kami tahu ada kalangan penerima dua dos vaksin masih boleh jatuh sakit akibat virus itu.
“Jadi, walaupun dengan kelonggaran sekatan, kita masih perlu berwaspada untuk membantu melindungi satu sama lain dan membendung kadar jangkitan.”
Kes harian Covid-19 yang dicatatkan Kementerian Kesihatan Britain menunjukkan penurunan sejak sekatan dilonggarkan, sementara kajian populasi mencadangkan kadar jangkitan masih boleh meningkat, walaupun pada kadar lebih perlahan.
Trend itu mengejutkan pakar dan pegawai, yang menjangkakan lonjakan kes baharu.
Kajian Imperial-Ipsos sehingga 12 Julai itu menunjukkan peningkatan kes secara berperingkat berbanding bulan sebelumnya.