TARIK SOKONGAN SELARAS KETETAPAN PAU2020, ISMAIL SABRI DAN MENTERI2 UMNO MEMANG WAJAR DIAMBIL TINDAKAN DISIPLIN


Disedari atau tidak atau mungkin ada yang cuba buat-buat lupa, keputusan MT UMNO membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN sebagaimana diumumkan Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Ogos baru-baru ini adalah selaras dengan ketetapan PAU2020.

PAU2020 Mac lalu telah sebulat suara membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang serta memberi mandat kepada Presiden dan MT menentukan masa yang sesuai untuk menarik diri daripada kerajaan PN.

Jika ketetapan itu diputuskan, dipersetujui bahawa semua menteri, timbalan menteri dan penerima lantikan menerajui GLC daripada UMNO hendaklah meletakkan jawatan daripada kerajaan secara serta-merta.

Dengan demikian, apabila MT UMNO pada 3 Ogos lalu membuat keputusan menarik diri terhadap kerajaan PN, ia sepatutnya diikuti dengan semua pemegang jawatan mengambil tindakan meninggalkan kerajaan tanpa banyak soal lagi.

Enggan berbuat demikian, berdalih dengan pelbagai alasan atau berdiam diri, bermakna mereka ingkar dengan ketetapan parti serta selayaknya diambil tindakan disiplin.

Lebih ingkar ialah jika ada di kalangan ahli MT yang setuju dalam mesyuarat dengan keputusan menarik sokongan itu, tetapi masih enggan meletakkan jawatan sehingga sekarang.

Mereka yang berbuat demikian bermakna tidak lagi setia kepada UMNO, sebaliknya lebih setia kepada Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin dan jawatan masing-masing.

Yang benar-benar setia kepada parti dan berjiwa UMNO hanyalah mereka yang setuju menandatangani surat akuan menarik sokongan yang kini nama-nama mereka sudah pun dihantar kepada Istana Negara.

Sebagaimana semalam Presiden UMNO, Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa tindakan disiplin bakal dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kerana masih berdiri bersama Perdana Menteri dalam perutusan khasnya Rabu lalu, ia adalah tindakan paling tepat dan wajar sekali.

Bukan saja Ismail Sabri, malah semua menteri dan timbalan menteri daripada UMNO yang masih enggan meletakkan jawatan seharusnya dihadapkan dengan tindakan disiplin yang sama.

Apa pun alasan yang cuba diwajarkan oleh golongan pelahap jawatan itu untuk mereka terus kekal dalam kerajaan, baik bersandarkan untuk memerangi Covid19, mengelakkan mudarat lebih besar atau apa saja alasannya, ia tetap merupakan pelanggaran kepada ketetapan PAU2020.

Alasan yang cuba diberikan juga lebih bersifat kepentingan peribadi semata-mata dan dengan itu, mereka harus diambil tindakan disiplin kerana tiada lagi kepatuhan kepada UMNO yang selama ini memberi ruang dan peluang kepada mereka menjadi pemimpin, seterusnya menikmati pelbagai kesenangan dalam kehidupan.

Lebih tepat juga, mereka itu tidak layak lagi berada di dalam UMNO yang mana atas nama parti jugalah mereka selama ini dipilih menjadi Ahli Parlimen.

Dengan itu, selain harus sedia berdepan tindakan disiplin, pilihan lain yang boleh diambil oleh mereka yang terbabit jika lebih sayangkan jawatan dan kedudukan ialah harus segera keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

Jiwa pelahap jawatan yang ada dalam diri mereka itu lebih sesuai dengan Bersatu kerana di dalam parti itu, itulah teras kepentingan dan keutamaannya.

Kedudukan mereka sebagai calon dalam PRU akan datang, dengan itu boleh diisi oleh pemimpin-pemimpin baru UMNO yang jauh lebih berwibawa, ada harga diri dan tidak mudah menjual nilai perjuangan demi semata-mata kerana jawatan.

Dalam hal ini, Zahid Hamidi sepatutnya turut tidak berlengah menetapkan tempoh tertentu untuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan dan dengan langkah itu dapat pula mempercepatkan proses tindakan disiplin dan pembersihan dalam parti.

Tiada lagi mereka terbabit dalam parti, UMNO pasti jadi lebih baik kerana selama ini pun, karenah sebahagian besar mereka itulah yang menjadikan UMNO huru-hara dan tidak tentu hala. (ShahbudinHusin 06/08/2021)