Disedari atau tidak atau mungkin ada yang cuba buat-buat lupa,
keputusan MT UMNO membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN
sebagaimana diumumkan Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Ogos baru-baru ini adalah
selaras dengan ketetapan PAU2020.
PAU2020 Mac lalu telah sebulat suara membuat keputusan
memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang serta memberi mandat
kepada Presiden dan MT menentukan masa yang sesuai untuk menarik diri daripada
kerajaan PN.
Jika ketetapan itu diputuskan, dipersetujui bahawa semua
menteri, timbalan menteri dan penerima lantikan menerajui GLC daripada UMNO
hendaklah meletakkan jawatan daripada kerajaan secara serta-merta.
Dengan demikian, apabila MT UMNO pada 3 Ogos lalu membuat
keputusan menarik diri terhadap kerajaan PN, ia sepatutnya diikuti dengan semua
pemegang jawatan mengambil tindakan meninggalkan kerajaan tanpa banyak soal
lagi.
Enggan berbuat demikian, berdalih dengan pelbagai alasan atau
berdiam diri, bermakna mereka ingkar dengan ketetapan parti serta selayaknya
diambil tindakan disiplin.
Lebih ingkar ialah jika ada di kalangan ahli MT yang setuju
dalam mesyuarat dengan keputusan menarik sokongan itu, tetapi masih enggan
meletakkan jawatan sehingga sekarang.
Mereka yang berbuat demikian bermakna tidak lagi setia kepada
UMNO, sebaliknya lebih setia kepada Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin dan jawatan
masing-masing.
Yang benar-benar setia kepada parti dan berjiwa UMNO hanyalah
mereka yang setuju menandatangani surat akuan menarik sokongan yang kini
nama-nama mereka sudah pun dihantar kepada Istana Negara.
Sebagaimana semalam Presiden UMNO, Zahid Hamidi memberi bayangan
bahawa tindakan disiplin bakal dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri,
Ismail Sabri Yaakob kerana masih berdiri bersama Perdana Menteri dalam
perutusan khasnya Rabu lalu, ia adalah tindakan paling tepat dan wajar sekali.
Bukan saja Ismail Sabri, malah semua menteri dan timbalan
menteri daripada UMNO yang masih enggan meletakkan jawatan seharusnya
dihadapkan dengan tindakan disiplin yang sama.
Apa pun alasan yang cuba diwajarkan oleh golongan pelahap
jawatan itu untuk mereka terus kekal dalam kerajaan, baik bersandarkan untuk
memerangi Covid19, mengelakkan mudarat lebih besar atau apa saja alasannya, ia
tetap merupakan pelanggaran kepada ketetapan PAU2020.
Alasan yang cuba diberikan juga lebih bersifat kepentingan
peribadi semata-mata dan dengan itu, mereka harus diambil tindakan disiplin
kerana tiada lagi kepatuhan kepada UMNO yang selama ini memberi ruang dan
peluang kepada mereka menjadi pemimpin, seterusnya menikmati pelbagai
kesenangan dalam kehidupan.
Lebih tepat juga, mereka itu tidak layak lagi berada di dalam
UMNO yang mana atas nama parti jugalah mereka selama ini dipilih menjadi Ahli
Parlimen.
Dengan itu, selain harus sedia berdepan tindakan disiplin,
pilihan lain yang boleh diambil oleh mereka yang terbabit jika lebih sayangkan
jawatan dan kedudukan ialah harus segera keluar UMNO dan menyertai Bersatu.
Jiwa pelahap jawatan yang ada dalam diri mereka itu lebih sesuai
dengan Bersatu kerana di dalam parti itu, itulah teras kepentingan dan
keutamaannya.
Kedudukan mereka sebagai calon dalam PRU akan datang, dengan itu
boleh diisi oleh pemimpin-pemimpin baru UMNO yang jauh lebih berwibawa, ada
harga diri dan tidak mudah menjual nilai perjuangan demi semata-mata kerana
jawatan.
Dalam hal ini, Zahid Hamidi sepatutnya turut tidak berlengah
menetapkan tempoh tertentu untuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan dan
dengan langkah itu dapat pula mempercepatkan proses tindakan disiplin dan
pembersihan dalam parti.
Tiada lagi mereka terbabit dalam parti, UMNO pasti jadi lebih
baik kerana selama ini pun, karenah sebahagian besar mereka itulah yang
menjadikan UMNO huru-hara dan tidak tentu hala. (ShahbudinHusin 06/08/2021)