Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seharusnya menyegerakan sidang
khas Parlimen membahaskan usul Undi Percaya kepada Perdana Menteri (PM)
Mahiaddin Yassin.
Menurut pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, sekiranya
kerajaan PN telah kehilangan majoriti dengan penarikan diri Umno maka mereka
kehilangan majoriti dan tidak lagi layak menasihati Yang di-Pertuan Agong.
"Saya bersetuju dari segi Perlembagaan isu majoriti
ditentukan dengan secepat mungkin kerana keabsahan itu penting untuk
menyediakan kepada tindakan dan keputsuan kerajaan.
"Terutama kedudukan, peranan dan kuasa menasihatkan Agong.
Sebuah kerajaan tak ada majoriti tak boleh nasihatkan Agong. Jadi Perkara 40
(Agong diminta mengikut nasihat Jemaah Menteri) itu patut dimengertikan dari
sudut itu.
"Tanggungjawab Agong menuruti nasihat kerajaan ialah suatu
ketetapan mengenai mandat dari Pilihan Raya Umum. Kalau tak ada mandat, dia
(kerajaan) tiada hak untuk memaksa nasihat kepada Agong.
"Ini hujah tidak boleh dilengahkan (usul Undi Percaya). Lagi
lama dilengahkan akan meletakkan negara ke dalam ketidaktentuan dan
ditinggalkan. Sebagai contoh, konglomerat nak buat apa melabur di Malaysia
sedangakan di rantau ini ada banyak negara lain yang tidak bermasalah
"Oleh itu saya menjangka dalih yang diberikan PM, perkara ini
akan dibawa ke Parlimen bulan depan, saya rasa ia akan berlaku lebih cepat
lagi," katanya dalam siaran Facebook bertajuk: "Bila PN Nak
Tumbang", malam tadi.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak itu, setelah Umno menarik
sokongan pada 3 Ogos lalu maka kerajaan PN telah menjadi kerajaan minioriti.
Katanya, kerajaan minioriti PN masih tidak digantikan sehingga
kini hanya kerana pihak pembangkang tiada calon Perdana Menteri dan tidak
bersatu membentuk gabungan untuk dilantik sebagai kerajaan.
Bagi Dr Aziz, kenyataan Mahiaddin menegaskan bahawa beliau
mempunyai majoriti ketika bertemu Yang di-Pertuan Agong amat dikesalkan kerana
rakyat melihat beliau mentadbir sebuah kerajaan minioriti.
"Respon masyarakat di luar kepada kenyataan PM menyatakan dia
masih ada majoriti mengejutkan. Mereka tidak menduga PM begitu berani dan tanpa
malu mengatakan itu. Beliau sanggup kata ada majoriti. Walau mungkin apa yang
dimaksudkan beliau adalah pentadbiran PN adalah kerajaan minioriti.
"Satu-satunya hujah bagi saya yang kita kemukakan untuk beri
alasan (Mahiaddin) kekal PM ialah (dia mentadbir) kerajaan minioriti. Jadi
walaupun PN ada 103 dan pembangkang ada 117, tetapi barangkali kekuatan yang
ada dengan Mahaiddin kerana mereka ada calon PM dan 117 yang lain tidak ada.
Itu satu-satunya alasan memberikan beliau berhak di situ.
"Tetapi politik bergerak dengan pantas dan kita tak tahu apa yang akan berlaku seterusnya," katanya lagi.