Undi 18: PM baharu perlu realisasikan, wujudkan sistem e-voting pasca pandemik Covid 19

 Pelaksanaan Undi 18 akan terus menghantui sesiapa pun yang menjadi kerajaan Malaysia.



Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, R. Yuneswaran, Rang Undang-undang Undi 18 yang telah diluluskan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan majoriti dua per tiga pada tahun 2019 perlu dilaksanakan seberapa segera bagi memberikan hak kepada anak muda memilih pemimpin yang mereka inginkan.



Katanya, tidak wajar Undi 18 tertangguh selepas 2 tahun dan tiada satu pun usaha untuk merealisasikannya.



"Suruhanjaya Pilihan Raya pernah memberi garis masa untuk merealisasi Undi 18 pada 1 Julai 2021, dengan menetapkan tempoh selama dua tahun menyediakan infrastrukturnya bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



"Kini kita telah pun berada di bulan Ogos 2021, namun tiada pelaksanaan sehingga hari ini. Adakah Kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri akan melaksanakannya?" tanyanya dalam kenyataan.



Tegas Yuneswaran, kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini jelas gagal melaksanakan Undi 18 dalam tempoh 17 bulan pemerintahan mereka.



Malah, katanya, bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yasin juga menggunakan Undi 18 sebagai tawaran politik dalam pengumuman beliau pada 13 Ogos lalu untuk mendapatkan sokongan pembangkang.



"Adakah Undi 18 menjadi bahan politik? Hak mengundi adalah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 119 di mana perkara ini tidak boleh dipolitikkan sama sekali.



"Semalam 25 Ogos, Perdana Menteri mengadakan perjumpaan bersama Pemimpin Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat dan negara.



"Perjumpaan antara Perdana Menteri dan Pemimpin PH itu menunjukan satu pendekataan yang progresif untuk membincang usaha-usaha untuk menyelesaikan krisis pandemik dan ekonomi (yang seharusnya dilanjutkan kepada Undi 18)," katanya.



Selain itu, Yuneswaran turut menyarankan kerajaan baharu untuk memulakan langkah menggunakan sistem e-voting terutama ketika pandemik Covid 19 masih belum benar-benar dapat diatasi bagi pengundi berasa selamat mengundi menerusi kaedah konvensional.



"Kerajaan harus mengkaji sistem undi secara dalam talian (e-voting) untuk mengalakkan lebih ramai pengundi menyertai proses memilih pemimpin melalui pilihan raya. Kita seharusnya mengadaptasi sistem e-voting dalam norma baru. Hampir 30 negara telah mengamalkan sistem ini dan berjaya.



"Perdana Menteri perlu lebih terbuka dalam pelaksanaan Undi 18, tidak lagi memberi alasan untuk menangguhkan pelaksanaan dan

menunjukkan keikhlasan pentadbiran beliau terhadap suara anak-anak muda dalam sistem demokrasi," katanya lagi.