Keluarga gagal Malaysia

 

Sukar untuk kita menafikan keluarga Malaysia ada banyak masalah yang tidak selesai.

Keluarga satu kumpulan manusia yang hidup bersama dan diikat samada oleh perkahwinan, keturunan atau pengangkatan. Keluarga gagal pula bermaksud, keluarga yang mempunyai krisis serius yang mengakibatkan keadaan negatif dalam hubungan.

Keluarga gagal biasanya dihantui oleh perceraian, keganasan rumahtangga, penganiayaan anak-anak, keluarga tunggal, dan ibu bapa sibuk. Manakala keganasan rumah tangga dalam keluarga selalu dihubungkan dengan keganasan secara seksual, atau fizikal; baik suami kepada isteri, atau isteri kepada suami; atau bapa atau ibu terhadap anak-anak yang mana mereka ditendang, ditampar, dicucuh benda panas, dipijak, dan macam-macam lain.

Pada 2018, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata laporan menunjukkan jumlah perceraian dalam kalangan rakyat meningkat 12% kepada 56,975 pada 2019, berbanding 50,862 pada tahun sebelumnya. Terdapat laporan demi laporan yang kes perceraian naik mendadak ketika PKP. Jadi, keluarga gagal itu sudah semacam kebiasaan.

Antara yang ikut menyumbang kepada keluarga gagal biasanya ialah kerana tiada persefahaman, komunikasi (dialog), perbezaan yang dibesar-besarkan, poligami; juga perbalahan melibatkan harta benda, keyakinan agama, orientasi seksual, jurang pendidikan dan generasi, pegangan politik, dan ketua keluarga yang terlalu percaya diri dan memaksakan.

Sukar untuk kita menafikan keluarga Malaysia ada banyak masalah yang tidak selesai. Memang kita sekeluarga. Kita ahli keluarga kerana kita makan hidangan yang sama, berkongsi payah derita sejarah yang sama, bahkan keinginan materi yang sama. Namun demikian satu hal yang menjadikan sesebuah keluarga tidak bahagia, malah gagal, ialah apabila masa depan dan cara mendapatkan apa yang diinginkan itu tidak sama.

Satu yang paling penting dalam sebuah keluarga ialah ekuiti. Iaitu apa yang dikatakan oleh ahli sosiologi terkemuka, Ali Shariati, di mana bakat diraikan dan potensi semua orang diberikan mengikut keupayaan dan kelayakan mereka. Jika itu tiada dalam keluarga maka keluarga itu menuju kegagalan. Kalau si adik yang ada bakat untuk dikembangkan dalam bidang tertentu dan kemudian dinafikan sang ayah, sedang anak lain diberikan peluang tersebut maka itu petanda gagal.

Jika keluarga saling tidak memahami kerana bahasa yang digunakan berbeza-beza sehingga setiap perutusan anggotanya tidak tiba ke tujuan, maka keluarga itu ada pakej lengkap untuk gagal. Bayangkan, si bapa mempunyai aspirasi bahawa anak tertentu sahaja yang boleh diberi peluang dan lebih kesempatan. Anak angkat yang diterima lama dahulu sebagai ahli, dilayan sambil lewa. Terdapat pula anak yang tercicir teruk, melarat malah dicuai atau diabaikan. Belum pula lagi ahli keluarga itu diperhitungkan kerana ada perbezaan mendasar seperti budaya dan agama.

Lebih dahsyat kalau ada ahli keluarga itu kaki buli. Sang abang yang percaya dirinya sulung atau anak kandung, akan menghentak adik-beradik yang dianggap pungutan. Sering kali bila bertelingkah, si abang akan membangkitkan begini, “Kau itu anak datang, pulang ke asal kau lah, menyemak ada dalam rumah ini.”

Nah, apakah perasaan sang adik yang diherdik sedemikian? Sang bapa umpama dalam Ahmad Albab, memberi kelonggaran kepada anak-anak yang hartawan. Kerana mereka kaya dan berada maka mereka boleh berbuat sesukanya. Juga lebih parah, kalau keluarga ini tiada sang ibu. Maka kebapaan dan kepatriakian menekan anak-anak perempuan yang merasa diri mereka tidak diberi ruang untuk menentukan nasib diri.

Keluarga gagal juga bila si bapa kahwin ramai dan ingin memuaskan bini-bini. Poligami antara faktor besar sebuah keluarga gagal. Tambah-tambah kalau bini-bini ini saling berebut dan mengancam untuk beroleh kedudukan selamat, iaitu isteri senior yang kanan dan boleh menentukan. Belum lagi isteri muda yang dijanji aneka macam. Bayangkan anak-anak dalam keluarga gagal begini. Apa jenis hubungan yang mereka ada?

Oleh sebab itu, saya ingin menjelaskan dengan sesuci hati, kerana saya seperti anda juga, amat menyayangi negara ini. Kita sebuah keluarga besar yang gagal. Tidak ada ekuiti. Tidak ada dialog. Tidak ada rasa percaya lagi. Materi yang sedikit menjadi rebutan sesama kita serasa mencemaskan dan sesak semak. Tidak ada lagi keinginan untuk mencipta masa depan yang selamat bersama-sama. Kita saling meluat dan berprasangka. Tidak ada prihatin. Tidak ada. Sifar. Kosong. “Zero”.

Keluarga gagal ini bunyinya macam diperbesar-besarkan. Kita akan memujuk diri konon sebenarnya itu hanya berlaku dalam kalangan politikus. Dalam kalangan rakyat, selalu ada setiakawan dan solidariti. Sesama rakyat pelbagai bangsa, yang di bawah, dalam kalangan murbawan konon masih ada rasa percaya dan kasih.

Konon, di kedai mamak, teh tarik dan roti canai menyatukan kita. Atau konon, kalau ada atlet negara yang bertanding dalam acara sukan kegemaran; kita masih bersatu sebagai keluarga. Atau misalnya, dalam aspek tertentu kita sebagai ahli keluarga masih bertolak ansur dan tidak berbalah.

Sembang. Ini semua sembang.

Hakikat paling sial mengenai keluarga gagal ini ialah kerana kita tidak dapat atau tidak bersedia untuk berubah melakukan pembaharuan mengikut paksi kebaikan dan kebenaran bersama. Tidak ada reformasi. Kita suka duduk terperuk lapuk sebab lagi gagal, lagi mudah untuk abang kakak yang mendapat banyak itu menekan adik-adiknya yang tidak begitu mendapat seperti kita.

Hakikat terpaling-paling sial dan lahanat adalah penyamunan. Negara ini penuh dengan samun. Kita berikan ia terma yang kearab-araban iaitu rasuah, agar bunyinya ada hukum-hakam fikah yang bermaslahat dan bermaqasid. Tetapi hakikatnya ia adalah kejadian samun. Kita tidak dapat menghalang penyamunan ini terjadi. Bila kita keluar membetulkan adegan samun ini, kita disamun dari belakang. Juga disamun dari atas. Maruah kita dicuri. Kehormatan kita dijual beli.

Ini keluarga gagal. Betul kita sekeluarga, tetapi kita keluarga yang disfungsi. Orang atas-atas tidak peduli. Ringgit adalah keutamaan mereka.

Demikianlah buruknya menyamakan negara ini sebagai sebuah keluarga. Sama buruknya bila seorang pemimpin menyamakan dirinya sebagai ayah atau bapa. Utusan-perutusan muluk konon kita masih adik-beradik hanyalah untuk melengahkan tuntutan kita yang lebih berpelajaran dan celik mata untuk dilayani sama adil. Mereka yang diatas sedang melengahkan, sedang berpura menimbang, atau sedang buat-buat lupa masalah sebenarnya bertimpa.

Dalam keluarga gagal, kita akan sering bertemukan anggota keluarga yang menutup-nutup kehancuran ini kerana konon tidak mahu jiran tetangga tahu. Padahal semua orang sudah maklum kita keluarga gagal. Sementara itu, mereka mempercepatkan samunan, dan berlekas untuk menindas sambil dipujuk-pujuk; ‘Jangan susah hati, kita sekeluarga’.

Keluarga apa?

Keluarga gagal.