Di bawah ini adalah beberapa foto muka surat daripada sebuah buku yang dijadikan sandaran atau rujukan induk oleh seorang ustaz Pas bernama Mohd Saiba Yaacob untuk menuduh Anwar sebagai liberal dan plural. Hairan juga, muka depan buku, tajuk dan penulisnya tidak didedahkan pula.
Jelas tampak ia dibaca dan ditelaah secara berulang, digaris, dibulat dan dibintang, bersungguh benar Ustaz Mohd Saiba mengkaji buku itu. Mungkin juga ia dijadikan sukatan atau kurikulum usrah bertajuk Anwar liberalis pluralis. Walhasil, Ustaz Mohd Saiba sangat mengimani bahawa Anwar seorang bermazhab liberal dan plural.
Satu soalan, bersediakah ustaz jika ustaz dicabar di mahkamah? Saya cuma bertanya, kerana saya yakin Anwar tiada masa untuk menyaman ustaz.
Saya tidaklah mengkaji secara mendalam sangat pemikiran Anwar Ibrahim. Tetapi untuk memahami ucapan atau tulisan Anwar (yang diolah dalam buku misteri ini sebagai dalil Anwar berfahaman liberal dan plural), cukup saya membaca buah fikir dan tulisan reformis akhir abad ke 19 dan awal abad 20 seperti Syeikh Muhammad Abduh, Abdul Rahman al-Kawakibi, al-Amir Syakib Arsalan, atau tulisan reformis Nusantara seperti Syed Syeikh al-Hadi atau Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba) atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), atau membaca karya ulama reformis abad 20 dan 21 seperti karya2 Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syekh Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Taha Jabir al-'Alwani, Syeikh Dr. Muhammad 'Imarah atau karya2 pemikir kontemporari seperti Fahmy Huweidy dari Mesir ataupun membaca tulisan kritis Syed Hussein Alatas, Rustam A. Sani, Syed Husin Ali dan lain-lain dari Malaysia.
Manakala kontemporari ini ada seorang sarjana pemikir muda dari Universiti Nasional Singapura bernama Dr. Azhar Ibrahim dengan bukunya yang berkualiti kerana ketajaman jurus fikir di dalamnya.
Kalau dari Malaysia, sarjana pemikir yang menulis mengkritik atau memikir ulang tradisi pemikiran Islam secara tuntas antaranya Prof Dr. Mohd Fauzi Abdul Hamid dari USM. Dr. Maszlee Malik tidak perlu saya perkenalkan lagi, seorang pemikir muda yang sudah lama dilabel liberal oleh walaun.
Keterujaan Mohd Saiba terhadap buku misteri yang mengolah segala ucapan dan tulisan Anwar sebagai fahaman liberal plural adalah disebabkan kekurangan daya intelektual dan kenaifan daya analisis kritis terhadap sesebuah tulisan atau buku.
Ya, saya tidak perlu mentelaah tulisan dan ucapan Anwar sebegitu mendalam jika saya sudah biasa membaca ide-ide reformis dari Timur Tengah dan Nusantara itu. Apa yang diungkap oleh Anwar tidak jauh berbeda dengan ungkapan reformasi tokoh2 ulama dan pemikir pengkritik kejumudan umat Islam itu.
Merujuk kepada foto muka surat buku di bawah, kenapa Maqasid Syariah disinonimkan dengan faham pluralisme? Ilmu Maqasid Syariah adalah ilmu yang ada disiplin dan akar umbinya tersendiri, bukan ilmu kaum pluralis.
Oh, tidak pelik kerana beberapa tahun dulu pernah presiden sebuah parti Islam mendakwa orang-orang yang galak mempromosikan konsep Maqasid Syariah itu hanyalah mahukan maqasid tetapi menolak syariah! Apa yang dia faham dengan maqasid Syariah? Kenyataannya itu sungguh dangkal dan tertinggal jauh di belakang perkembangan ilmu Islam.
Kenapa dia mendakwa secara dangkal begitu? Kerana kita golongan yang pro reform progresif Islam ini kerap mengkritik kempen hudud yang dibawanya sebagai berniat politik dan tidak melihat kepada tuntutan maqasid syariah. Baginya, syariah itu adalah hudud dan hudud adalah syariah. Sungguh meleset. Sedangkan kita melihat hudud itu dari pelbagai dimensi, sama ada dari sudut hukum taklifi (wajib, sunat, makruh dan harus) atau hukum wadh'ie (sebab, syarat, halangan, sah, batal, rukhsah dan 'azimah). Demikianlah maksud hukum syariah sebenar yang komprehensif, ia bukan hanya aspek taklifi sahaja.
Kini sejak berpelukan dengan Umno BN baru dia faham apa yang kita kritik dulu dan barulah pandai bercakap atau menulis tentang fiqh awlawiyat, fiqh muwazanat dan fiqh ma-alaat setahun dua ini. Jadi janganlah kita terpedaya dengan gelaran tuan guru kerana tuan guru pun ada yang sangat slow learning dan ketinggalan jauh.
Dengan kritikan saya kepada tuan guru ketua parti Islam yang ketinggalan dalam fahaman ilmu maqasid syariah itu, saya tak perlu lagi mengkritik Ustaz Mohd Saiba dalam perkara yang sama. Pokok besar sudah tumbang, tak perlu lagi buang masa tebang pokok kecil. Biarkan pokok besar itu tumbang dan menimpa pokok kecil lalu tumbang bersama-sama.
Cuma di sini saya ingin mengajak (atau boleh baca 'mengajar') Ustaz Mohd Saiba membaca dan berfikir secara analitikal kritikal secara serentak.
Apabila ustaz membaca frasa "Anwar dengan terus terang dan tegas memberi jaminankepada Barat bahawa jika beliau berkuasa, maka undang-undang syariah tidak akan dilaksanakan", bacalah ia dengan otak yang terbuka dan minda yang selesa. Jangan mudah sesak dan lemas dengan gaya penulis yang dangkal dan cetek.
Sepatutnya ustaz membaca dan bermonolog sendiri sebelum membuat keputusan dan menjadi pentaqlid buta kepada penulis. Dalam frasa yang dikutip penulis daripada ucapan Anwar itu, cuba bertanya apa maksud syariah yang dimahukan Anwar ketika itu? Apa yang audiens Barat di depan Anwar faham dengan terminologi syariah? Apa yang Pas maksudkan dengan syariah? Dan apakah maksud syariah sebenarnya?
Betul, lafaznya sama, tapi maksudnya berlainan merujuk kepada berlainan faham atau gambaran. Orang Arab kata: الحكم على الشيء فرع عن تصوره (Hukum terhadap sesuatu itu adalah satu cabang daripada gambarannya)
Orang Pas faham Syariah itu ialah hudud. Fahaman itu berasal usul daripada pemikiran Abu al-A'la al-Maududi, lalu diceduk oleh Syed Qutb dan dipegang oleh ulama Pas khususnya yang balik dari Mesir lalu disurah dan dicurahkan dalam usraz, tazkirah dan ceramah agama. Proses itulah yang melahirkan satu generasi walaun totok sukar berfikir.
Jadi bila Anwar bercakap di depan audiens Barat yang takut terhadap syariah, sudah tentu dia maksudkan dengan syariah yang dia janji tak akan laksanakan jika berkuasa itu ialah syariah sebagaimana yang difahami secara cetek oleh golongan gerakan Islam ekstrim seperti Pas, Taliban dan IS.
Adakah Anwar memusuhi syariah dengan maksudnya yang sebenar? Tak mungkin. Kerana Anwar mengamalkan syariah dalam kehidupan peribadinya iaitu solat dan rukun2 Islam yang lain. Anwar juga mengamalkan syariah dalam keluarganya, beliau mendidik anak isterinya dengan ajaran syariah yg sebenar sepèrti menutup aurat dan mengawal pergaulan. Anwar jugalah pejuang awal sistem ekonomi berlandaskan syariah sebelum ulama Pas pandai bercakap tentang ekonomi Islam.
Ironinya, ternyata kini pemimpin politik yang Pas menikmati kuasa bersama itu lebih tidak patuh syariah atau liberal berbanding Anwar dan keluarganya. Sila berfikir secara ķritis ustaz Mohd Saiba yer, lama kelamaan sel-sel otak ustaz akan berkembang pesat dan tak terbelenggu dengan sebuah buku.
Kalau hendak disebut bukti2 lain Anwar pro syariah yang sebenar (bukan syariah yg difahami secara cetek oleh gerakan Islam seperti Pas yang menjadi fitnah kepada orang Barat), ia adalah sangat banyak. Tetapi malangnya mentaliti walaun membabi buta tak akan nampak perkara yang jelas kerana terkepung dalam doktrin usrah pemandulan minda dan anti berfikir.
Setakat itu dulu jawapan dan perkongsian saya kepada anda dan orang2 seperti anda wahai Ustaz Mohd Saiba tentang maksud syariah. Semoga ustaz lebih terbuka dengan membaca sambil berfikir secara analitikal kritikal selepas ini.
Untuk melatih diri ustaz dan anak buah usrah ustaz menjadi pembaca dan ilmuan yang kritis selepas ini, saya mencadangkan ustaz membaca buku2 berikut:
1. Al-Islam wa al-Nasraniyyah ma'a al-'Ilmi wa al-Madaniyyah - Syeikh Muhammad Abduh
2. Tafsir al-Manar - Syeikh Muhammad Rasyid Ridha murid Muhammad Abduh.
2. Toba-i' al-Istibdad - Syeikh Abdul Rahman al-Kawakibi (edisi BM: Tabiat Kediktatoran)
3. Haadhir al-'Alam al-Islami - Lothrop Stoddard dgn komentar al-Amir Syakib Arsalan
4. Islamic Modernism in Malaya, the Life and Thought of Sayid Syeikh al-Hadi - Ibrahim Abu Bakar
5. Syed Syeikh al-Hadi Pembaharu Semangat Islam dan Sosial - editor Mohd Mokhtar Abu Hassan et al
6. Seruan Islam Syed Syeikh al-Hadi - Alijah Gordon
7. Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri - Za'ba
8. Mencari Ketinggi Dunia dan Akhirat - Za'ba
9. Kenangan-kenanganku di Malaya - Hamka
10. 4 Bulan di Amerika - Hamka
11. Sejarah Umat Islam - Hamka
12. Turathuna al-Fikri fi Mizan al-Syar-i wa al-'Aqli - Syeikh Muhammad al-Ghazali
13. Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyah bayna al-Muslimin - Syeikh Muhammad al-Ghazali
14. Sirr Taakhuri al-'Arab wa al-Muslimin - Syeikh Muhamamd al-Ghazali
15. Azmah al-'Aql al-Muslim - Syeikh Dr. Abdul Hamid Abu Sulaiman (mantan Rektor UIAM)
16. Syubuhat hawla al-Fikri al-Islami al-Mu'asir - Syeikh Salim al-Bahnasawi
17. Ma'alim al-Manhaj al-Islami - Syeikh Dr. Muhammad 'Imarah
18. Al-Islam wa al-Ta'ddudiyah - Syeikh Dr. Muhammad 'Imarah
19. Muwatinun La Dzimmiyyun - Fahmy Huweidy
20. Khata' fi al-Tafsir - Mawlana Wahiduddin Khan (pengkritik tegar al-Maududi)
21. Intelektual Masyarakat Membangun - Syed Hussein Alatas
22. Peranan Intelektual - Himpunan tulisan Usman Awang, Rustam A. Sani, Syed Husin Ali et all
23. Revolusi Intelektual - Dr. Zulkifli Hasan HEP UIAM
24. The Malays Their Problems and Future & The Malay Rulers - Syed Husin Ali
25. Memperkasakan Rakyat: Analisis dan Perjuangan - Dr. Mohd Nasir Hashim (pernah digelar penyembah Karl Marx oleh tok guru presideng)
26. Memikir Ulang Tradisi Untuk Pembaharuan - Dr. Azhar Ibrahim UNS
27. Islamisme dan Bahananya: Cabaran Besar Politik Malaysia Abad Ke 21- Prof Dr Mohd Fauzi A. Hamid
28. Shariazisation of Malay-muslim Identity in Contemporary Malaysia - Prof Dr. Mohd Fauzi A. Hamid
Itu cuma sebahagian daripada buku-buku yang wajar dibaca kalau ustaz ingin menjadi seorang yang terbuka dan berdaya intelektual dalam melayani maudhu' pemikiran Islam. Tajuk-tajuk buku itu sekadar contoh sahaja kerana saya memilikinya, banyak lagi buku lain juga membicarakan sesuatu isu dengan kupasan dari pelbagai dimensi. Buku-buku pemikiran al-Qaradawi tidak perlu saya sebutkan lagi kerana ia sangat banyak dan meluas. Ini harus kita lakukan supaya minda kita terbuka dan kritis. Jujur dan maaf cakap, saya kasihan melihat daya intelektual ustaz dalam lontaran hujah tuduhan Anwar liberal dan plural itu berada di tahap kronik (seperti contoh tangkap layar di bawah).
Jangan kepungkan daerah pembacaan kepada tulisan presiden Pas sahaja atau tulisan ahli politik pemegang PhD dalam parti Pas sahaja. Bukan saya bermaksud merendahkan mereka, tetapi siapa yang biasa membaca bahan ilmiah berwasit dengan rujukan, pasti akan mengetahui dengan mudah tulisan-tulisan presiden dan ulama Pas masih cetek dan tohor tahap analisis kritis dalam sesuatu isu, selalunya tanpa rujukan silang disertakan (kecuali buku terbarunya 'Islam dan Demokrasi' yang sebahagian babnya ada rujukan namun masih tidak konsisten dan tidak sistematik). Hal itu menjadikan buah fikir mereka sangat mudah, simplistik, singkat dan dangkal, hanya sesuai dijadikan jamuan walaun dalam usrah tertutup sesama ahli.
Apa pun terima kasih kepada ustaz kerana sudi berkongsi sumber pemikiran dan tuduhan ustaz kepada seorang pemimpin gerakan reformasi yang boleh disifatkan sebagai a prominent intellectual muslim reformist atau مسلم مصلح مثقف بارز yang dikenali dunia.