SURAT KEPADA ANWAR IBRAHIM... BACA LAH!!


Biarkanlah Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik ini uruskan siapa dia hendak pilih jadi Timbalan Perdana Menteri, siapa-siapa akan jadi menteri dalam Kabinet. Di bawah Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan jelas disebut : “atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.”

Blok pembangkang, khususnya Pakatan Harapan tidak perlu jadi budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen mengganggu dan menggugat tak tentu hala Perdana Menteri yang baru sahaja dilantik ini. Rakyat tak suka, semua orang tak suka.

Biarkan Ismail Sabri menguruskan pentadbiran negara dengan tenteram. Jika Perdana Menteri Ismail Sabri menghadapi asakan atau diganyang oleh saingan politiknya dari Parti Bersatu atau lain-lain parti dalam payung besar PN atau BN, ambil sikap, itu urusan dalam klik pemerintah sekarang. Kalau cerita penglipur lara di sebut, “ Biarkan si Luncai, terjun dengan labu-labunya.”

Jadi apa yang Harapan perlu lakukan sekarang selepas terlepas peluang untuk kembali jadi kerajaan? Jawapannya mudah sahaja. Tumpukan segala tenaga dan fikiran kepada pilihanraya umum ke-15 yang akan datang dalam tempoh tak sampai dua tahun lagi.

Jangan campak Anwar Ibrahim ke bawah bas selepas dia gagal dalam persaingan menjadi Perdana Menteri ke-9. Harapan amat memerlukannya sekarang untuk menjadi komander dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Lupakanlah segala syor dan cadangan supaya Anwar terlibat dalam kerajaan perpaduan ataupun kerjasama bi-partisan. Kalau Harapan yang memimpin kerajaan, mungkin idea kerajaan perpaduan atau kerjasama bi-partisan itu masuk akal dan berfaedah. Tetapi kalau Harapan sekarang ibarat seperti melukut di tepi gantang, yang tak dijemput, tak diundang, jangan sampai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Harapan bukan satu jenama yang koyak dan kalah. Harapan adalah jenama politik untuk masa depan. Harapan hanya kurang 6 undi sokongan sahaja untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan persekutuan. Itu tak susah diperolehi di dalam pilihanraya akan datang.

Penting ditegaskan di sini. Saya bukan macai Anwar Ibrahim. Saya pengkritik lantang kepada Anwar dalam parti dan di luar parti, secara terbuka ataupun secara “one to one” secara peribadi. Kalau tak percaya, boleh tanya Anwar sendiri. Banyak insiden saya menentangnya. Anwar suruh ahli parlimen pembangkang duduk, tetapi saya berdiri di dalam Parlimen. Saya langgar displin. Saya langgar arahan Anwar. Saya ikut hati nurani saya sebagai seorang ahli parlimen.

Tetapi di dalam keadaan sekarang, minta maaf saya cakap, janganlah ada kawan-kawan dalam Harapan yang suruh Anwar letak jawatan. Saya dengar ada cadangan minta Harapan pilih pemimpin lain. Mereka berhujah kononnya, Anwar sudah tak diperlukan lagi. Ini semua “nonsense”. Cakap-cakap seperti itu datang dari Deep State, dari musuh Harapan yang memang hendak menghancurkan Harapan dan Anwar Ibrahim terutamanya.

Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika dia tunduk terhadap tuntutan Kluster Mahkamah dari Umno. Anwar tidak berkompromi. “Rule of law” atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati. Mahkamah tidak boleh diganggu. Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap Anwar. Itu pendirian tegas Anwar. Apa yang Anwar buat itu betul. Dalam keadaan krisis rebut kuasa Anwar lulus dalam ujian. Dia tidak gila kuasa. Dia tidak mabuk jawatan.

Anwar tetap mempertahankan idealisme reformasinya yang diketuainya lebih 23 tahun lalu, bukannya kilauan jawatan dan keberahian kuasa Perdana Menteri yang tempoh memanas kerusi tak sampai dua tahun sahaja dari saat ini. Anwar memilih kepentingan rakyat dan negara pada jangka panjang bukannya kepentingan peribadinya untuk jangka pendek.

Begitu juga. Anwar Ibrahim sudah ada di Pejabat Perdana Menteri hari ini, kalau dia menanggih sedekah sokongan dari GPS di Sarawak dan tunduk terhadap tekanan dengan berjanji jawatan itu dan ini. Anwar tidak tergoda untuk meraih sokongan seperti pengemis politik. Pengerusi Harapan dan Presiden Keadilan ini ada maruah, ada integriti. Dia tetap tenang dan tawakal. Anwar telah lulus ujian.

Pemimpin-pemimpin pelapis, dari kalangan muda, dari pemuda dan wanita, tampillah ke depan. Pemimpin-pemimpin senior Harapan bangun dan bergerak ke saf hadapan. Tetapi usah Anwar cuba dipinggirkan.Sekali lagi saya mohon, jangan campak Anwar ke bawah bas. Bayangkan senario pernah terjadi. Selepas PRU-13, Anwar dihumban oleh regim Umno/BN Najib ke penjara. Pakatan Rakyat pecah dan hancur.

Lontarkanlah segala kata nista yang buruk-buruk serta fitnah seranah kepada Anwar, jika itu golongan yang membenci Anwar mahu lakukan. Tetapi jangan lupa, orang yang bernama Anwar Ibrahim inilah yang bangun dan muncul kembali dari dalam penjara membina semula perpaduan parti-parti pembangkang sehingga Harapan berjaya menumbangkan Umno/BN dan Najib dalam pilihanraya umum Mei 2018 lalu.

Jadi kepada Anwar Ibrahim, saya berharap supaya tenang dan fokus. Ini tugas sejarah anda untuk memimpin rakyat menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 akan datang supaya kita dapatkan semula mandat rakyat dan di tanahair kita ini akan kita bangunkan sebuah negara moden yang progresif, yang adil dan demokratik; sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat semua kamu dan agama dengan berasaskan dasar keadilan untuk semua.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang