PM Mahiaddin, Kabinet dipandang hina derhaka perintah Agong, tutup Parlimen

 

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah hilang keabsahan, dehaka kepada Yang di-Pertuan Agong serta mengunci Parlimen sewajarnya dipandang hina oleh rakyat.



Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Malaysia mempunyai Yang di-Pertuan Agong menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan sepatutnya turut mempunyai kerajaan yang juga menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan.



Katanya, apabila Perdana Menteri (PM) dan Jemaah Menteri tidak menghormati keluhuran Perlembagaan maka rakyat juga tidak akan lagi menghormati mereka.



"Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Bukan negara republik seperti Indonesia atau Amerika Syarikat.



"Malaysia juga bukan negara raja berkuasa mutlak seperti Brunei atau Arab Saudi.



"Patut dihargai dan dipandang tinggi jika Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan menghormati peranan Parlimen sebagai badan perundangan di mana segala urusan undang-undang dan kewangan negara dibentang, dibahas dan diputuskan di dalam Parlimen.



"Justeru itu, patut dipandang hina pula PM dan Jemaah Menteri yang dilantik oleh Agong di bawah Perkara 43(1) dan 43(2)(a) tetapi ingkar terhadap titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibentangkan, dibahas dan diputuskan di Parlimen.



"PM Mahiaddin Yassin dan seluruh Kabinetnya bukan sahaja tidak menghormati Raja Berperlembagaan, menghina Parlimen dan Perlembagaan malah mereka mengkhianati prinsip tunjang demokrasi berparlimen," katanya dalam kenyataan hari ini.



Tambah Hassan, tindakan menggantung dan mengunci Parlimen adalah melampaui batas yang dibenarkan oleh demokrasi dan Perlembagaan.



Oleh itu, katanya, PM dan kabinetnya perlu berundur secepat mungkin untuk tidak menambah parah krisis Perlembagaan di negara ini.



"PM Mahiaddin dan Kabinetnya mengkhianati kuasa dan mandat rakyat dengan menggantung Parlimen, dan hari ini menutup Parlimen sebagai jalan mudah untuk terus berkuasa.



"Saya selaku seorang Ahli Parlimen menuntut tanggungjawab bersama seluruh Jemaah Menteri dan PM mengambil jalan terhormat dan bermaruah supaya meletakkan jawatan seberapa segera.



"Anda semua yang menganggotai Badan Eksekutif sudah hilang keabsahan atau legitimasi untuk mentadbir Malaysia yang tercinta ini," katanya lagi.



Pagi tadi, 107 Ahli Parlimen Pembangkang membantah penutupan Parlimen dengan berarak ke Jalan Parlimen selepas berucap di Dataran Merdeka. Mereka disekat oleh polis pencegah rusuhan di Bulatan Dato' Onn sebelum sempat masuk ke Jalan Parlimen.



Perikatan Ahli-ahli Parlimen tersebut adalah yang julung-julung kali berlaku selepas Langkah Sheraton dan berlakunya penjajaran semula politik di Malaysia pada 2020.