Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah hilang keabsahan,
dehaka kepada Yang di-Pertuan Agong serta mengunci Parlimen sewajarnya
dipandang hina oleh rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Malaysia
mempunyai Yang di-Pertuan Agong menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan
sepatutnya turut mempunyai kerajaan yang juga menghormati keluhuran
Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, apabila Perdana Menteri (PM) dan Jemaah Menteri tidak
menghormati keluhuran Perlembagaan maka rakyat juga tidak akan lagi menghormati
mereka.
"Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen dan Raja
Berperlembagaan. Bukan negara republik seperti Indonesia atau Amerika Syarikat.
"Malaysia juga bukan negara raja berkuasa mutlak seperti
Brunei atau Arab Saudi.
"Patut dihargai dan dipandang tinggi jika Yang di-Pertuan
Agong sebagai Raja Berperlembagaan menghormati peranan Parlimen sebagai badan
perundangan di mana segala urusan undang-undang dan kewangan negara dibentang,
dibahas dan diputuskan di dalam Parlimen.
"Justeru itu, patut dipandang hina pula PM dan Jemaah Menteri
yang dilantik oleh Agong di bawah Perkara 43(1) dan 43(2)(a) tetapi ingkar
terhadap titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibentangkan,
dibahas dan diputuskan di Parlimen.
"PM Mahiaddin Yassin dan seluruh Kabinetnya bukan sahaja
tidak menghormati Raja Berperlembagaan, menghina Parlimen dan Perlembagaan
malah mereka mengkhianati prinsip tunjang demokrasi berparlimen," katanya
dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hassan, tindakan menggantung dan mengunci Parlimen adalah
melampaui batas yang dibenarkan oleh demokrasi dan Perlembagaan.
Oleh itu, katanya, PM dan kabinetnya perlu berundur secepat
mungkin untuk tidak menambah parah krisis Perlembagaan di negara ini.
"PM Mahiaddin dan Kabinetnya mengkhianati kuasa dan mandat
rakyat dengan menggantung Parlimen, dan hari ini menutup Parlimen sebagai jalan
mudah untuk terus berkuasa.
"Saya selaku seorang Ahli Parlimen menuntut tanggungjawab
bersama seluruh Jemaah Menteri dan PM mengambil jalan terhormat dan bermaruah
supaya meletakkan jawatan seberapa segera.
"Anda semua yang menganggotai Badan Eksekutif sudah hilang
keabsahan atau legitimasi untuk mentadbir Malaysia yang tercinta ini,"
katanya lagi.
Pagi tadi, 107 Ahli Parlimen Pembangkang membantah penutupan Parlimen
dengan berarak ke Jalan Parlimen selepas berucap di Dataran Merdeka. Mereka
disekat oleh polis pencegah rusuhan di Bulatan Dato' Onn sebelum sempat masuk
ke Jalan Parlimen.
Perikatan Ahli-ahli Parlimen tersebut adalah yang julung-julung
kali berlaku selepas Langkah Sheraton dan berlakunya penjajaran semula politik
di Malaysia pada 2020.