Gambar hiasan.
KETIKA artikel ini ditulis, Parlimen Malaysia telah ditempohkan
atau ditangguhkan dengan alasan terdapat penyebaran virus Covid-19 dalam
kalangan pegawai Ahli Parlimen.
Penangguhan sidang Parlimen pada Isnin 2 Ogos 2021 ke tarikh
lain telah dikritik keras oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Bandar Kuching dan
Ahli Parlimen pembangkang khususnya, atas alasan penangguhan tersebut walaupun
di atas alasan penyebaran virus Covid 19 tetapi tidak dibuat berasaskan dapatan
sains dan data kesihatan yang konklusif.
Dalam tempoh pandemik, pelbagai tulisan
serta respons negara-negara lain mengungkapkan bagaimana demokrasi harus terus
dipertahankan walaupun negara berhadapan dengan situasi kritikal, terkesan
dengan pandemik.
Alasan utama mengapa kebanyakan Parlimen di negara-negara lain
terus bersidang baik secara limitasi fizikal mahupun dengan dokongan teknologi,
adalah disebabkan legislatif masih perlu melaksanakan tugas-tugas mereka
membahaskan keperluan, meluluskan peruntukan dan mekanisme menangani pandemik
dalam negara masing-masing.
Proses semak dan imbang masih relevan dan kekal menjadi unjuran
keutamaan walaupun ketika pandemik.
Namun demikian, apa yang terjadi di
Malaysia adalah sejarah yang mengejutkan. Tidak pernah dalam sejarah negara,
Kerajaan dan sebuah lagi komponen penting dalam sistem demokrasi berparlimen di
Malaysia, iaitu Institusi DiRaja saling mengutus penjelasan bertulis di media massa
menjelaskan keadaan yang sepatutnya dibahaskan dalam Parlimen.
Dewan yang mulia telah dikelirukan dengan status pembatalan
Ordinan Darurat tetapi tidak ada penjelasan atau perbahasan tuntas di dalam
Dewan. Ia membawa kepada beberapa episod dramatik lain yang kemudiannya
memperlihatkan sisi kegagalan Parlimen berfungsi dengan efektif untuk
kepentingan rakyat.
Dalam konteks negarawan yang berjiwa besar, ruang demokrasi yang
berfungsi, perbahasan yang membawa kepada agenda luhur untuk kebaikan negara,
ia harus dibina dengan ekosistem penguasaan ruang demokrasi yang benar-benar
mengangkat prinsip shura (perbincangan) yang baik.
Sebagaimana yang ditegaskan oleh Dr. Ahmad al-Raysuni di dalam
tulisannya, Al Shura, The Quranic
Principle of Consultation, beliau menggariskan 10 prinsip utama dan
kefungsian dalam tuntutan konsultasi untuk proses demokrasi yang matang
iaitu:-
1. Matlamat
shura (perbincangan) adalah untuk menentukan hala tuju yang baik.
2. Membebaskan
diri dari keangkuhan.
3. Untuk
benar-benar menolak penindasan/pemerasan tirani.
4. Shura,
mengajar erti tawadu’ (humility).
5. Ruang
kebebasan diberikan kepada semua untuk perbincangan.
6. Mewujudkan
suasana kebebasan bersuara.
7. Menggalakkan
pemikiran dan proses rencana dengan keupayaan mengungkap
pandangan.
8. Mendorong
tindakan.
9. Menimbulkan
suasana perpaduan.
10. Kebersamaan
dalam menghadapi cabaran tidak terduga.
Mempertahankan kebebasan Parlimen daripada sebarang gugatan yang
menafikan keabsahan prinsip semak dan imbang adalah tugas setiap ahli parlimen
dan komponen institusi yang terkait dengan fungsi dan peranan Parlimen.
Kendala terbesar demokrasi adalah penindasan terhadap hak
bersuara dan kebebasan menyampaikan pandangan apatah lai yang melibatkan
kepentingan awam.Kecurangan kali ini pastilah penangguhan sesi perbahasan
dan kerugian ruang masa untuk membuat polisi yang baik untuk negara
ketika diuji dengan mehnah pandemik.
Apakah Parlimen kita kalis tribulasi? Tidak, malah setiap kali
berhadapan dengan ujian demokrasi, kebebasan dan fungsinya harus diperkukuhkan
dengan kekuatan pasak Perlembagaan Persekutuan.
Sebagaimana anjuran Abraham
Lincoln dalam kata-kata beliau yang masyhur, “Democracy is a
government of the people, by the people and for the people”. Apakah kerajaan Perikatan
Nasional hari ini mempunyai legitimasi sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai
dokongan dalam Parlimen dan rakyat? Apakah segala tindakan kerajaan hari ini
adalah demi rakyat?
Semua persoalan ini hanya boleh ditentukan dengan demokrasi yang
mengangkat agenda luhur, kebesaran jiwa dan ekosistem yang mewujudkan prinsip
semak dan imbang menerusi sidang perbahasan yang berkesan.
Selamatkan Demokrasi Berparlimen di Malaysia!
Fadhlina Sidek
Pengerusi
Biro Guaman & Pembangunan Komuniti
Wanita
KEADILAN