Mahfuz ucap terima kasih pada Pemuda Pas sahkan surat Agong

 Mahfuz ucap terima kasih pada Pemuda Pas sahkan surat Agong


Tindakan Dewan Pemuda Pas yang mahu melaporkan kepada polis berhubung penyebaran surat didakwa sebagai surat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kepada Perdana Menteri bertarikh 29 Julai lalu hanya mengesahkan kesahihan kewujudan warkah Istana Negara itu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak hairanlah jika YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah murka terhadap pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana perkara yang menjadi rahsia rasmi itu pun ditularkan kepada umum.

“Terima kasihlah Awang Oii (Ahmad Fadhli Shaari)! Pakcik ingat surat tu palsu. Rupanya Awang tolong mengesahkan surat tu betoi.

“Pak Cik ingat surat palsu. Ish murka sungguh Agong kat Perdana Menteri dan Taki (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) setiausaha agung parti Islam,” katanya dalam catatan terbaru di Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu Timbalan Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari akan melaporkan kepada polis berhubung penyebaran surat didakwa sebagai surat YDPA kepada Perdana Menteri bertarikh 29 Julai lalu.

Menurut Ahmad Fadhli, pembocoran surat rahsia dan terhad tersebut yang disebarkan kepada umum dan didakwa dimuat naik oleh sebahagian pimpinan pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial berkaitan dengan surat didakwa dihantar oleh Istana Negara kepada Perdana Menteri berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat.