Pandangan sesetengah pihak dalam Pas yang menentang usaha golongan yang terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan menaikkan bendera putih ditolak oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus.
Menurut Ustaz Azhar, hukum menaikkan bendera putih untuk memberitahu orang bahawa dia di dalam kesempitan hukumnya harus.
“Meletak tanda atau isyarat, kita perlu bantuan, itu boleh. Dengan tanda itu orang tahu kita perlukan bantuan. Itu harus.
“Dengan syarat tanda yang kita letak itu, bukan bertentangan dengan agama.
“Bila kita letak bendera putih, supaya orang faham kita memerlukan bantuan. Itu harus,” kata beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pemuda Pas Terengganu, Kamaruzaman Abdullah secara online.
Namun begitu, beliau memberikan ingatan, jika menaikkan bendera putih itu bertujuan untuk mendapatkan barangan percuma sedangkan dia golongan yang mampu, itu haram.
“Letak bendera, apa tujuan kita. Untuk nyatakan sesuatu, boleh. Ambil kesempatan, dia akan dapat api neraka. Dia tidak susah, tetapi dia angkat bendera untuk dapat makanan, dia sedang minta api neraka,” kata beliau.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas melarang orang ramai menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan kerana itu umpama menyerah diri dan satu kempen politik.
Menteri Besar Kedah, Mohamad Sanusi Md Nor pula berkata, pihak yang menaikkan bendera putih tidak akan mendapat bantuan kerajaan negeri di negeri yang beliau pimpin iaitu Kedah.
Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz pula berkata, “Angkat tangan berdoa kepadaNya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih.”