PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengingatkan polis bahawa ia mencemarkan imej sendiri dengan melakukan serbuan terhadap pengkritik.
Anwar menyifatkan perbuatan itu sebagai berbaur unsur autoritarian, dalam kenyataan yang menyusuli serbuan terhadap pejabat sebuah NGO dan soal siasat ke atas pengasasnya berhubung penyiaran animasi mengenai keganasan polis.
Presiden PKR itu berkata, undang-undang kontroversi tidak wajar dikuatkuasakan ketika negara sedang berdepan krisis kesihatan dan darurat.
“Sikap terlalu bergantung terhadap undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) menjadi tidak wajar apabila digunakan untuk menindas artis, wartawan, atau aktivis,” katanya.
Beliau berkata, tindakan seperti itu hanya memburukkan imej pasukan polis Malaysia yang lazimnya dikagumi.
“Dan selalunya, ia akan memakan diri, terutamanya ketika rakyat Malaysia sedang menangani kesan wabak,” katanya.
Semalam, polis menyerbu pejabat Freedom Film Network (FFN) dan rumah kartunis Amin Landak di Wangsa Maju, hanya sejam selepas Pengarah Eksekutif FFN, Anna Har, dan Amin disoal siasat Bukit Aman.
Har dan Amin sedang disiasat bawah Seksyen 500 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.
Animasi pendek berdurasi empat minit berjudul “Chilli Powder & Thinner” yang disiarkan pada 12 Jun lalu itu berdasarkan keterangan seorang remaja berusia 16 tahun bersama dua rakannya yang mendakwa dikasari polis ketika ditahan dalam lokap.