5 negeri beralih ke Fasa 2 berkuat kuasa 5 Julai

 

PETALING JAYA: Lima negeri – Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, dan Perlis akan beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 5 Julai selepas mencapai tiga indikator yang ditetapkan kerajaan pusat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata peralihan fasa PPN mengikut nilai ambang negeri-negeri dibuat selepas penilaian terperinci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira pandangan semua pihak serta keluhan rakyat yang terkesan.

Beliau berkata, tiga indikator berkenaan adalah purata tujuh hari kes harian berdasarkan 100,000 populasi; penggunaan kapasiti wad ICU dan kadar vaksinasi melebihi 10%.

“Antara sektor yang dibenarkan beroperasi dalam Fasa 2 adalah kedai buku dan alat tulis, telekomunikasi, kedai cuci kereta, gunting rambut.

“Dari segi pergerakan, daerah dan negeri masih dilarang kecuali kelonggaran diberikan kepada guru sekolah dan pelajar universiti yang perlu mengikuti kelas peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media peralihan fasa di peringkat negeri bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz hari ini.

Dalam fasa berkenaan, Ismail Sabri berkata pasangan jarak jauh juga dibenarkan melakukan rentas negeri dan daerah bergantung kepada kes kecemasan dan kes khas.

“Contohnya, isteri bersalin, anak tidak sihat atau kes kecemasan lain dan sudah pasti setiap pergerakan ini memerlukan kebenaran polis,” katanya.

Dalam pada itu, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 11 pagi di Fasa 2, bagaimanapun jualan hanya terhad kepada enam komoditi iaitu sayur, buah-buahan, barang runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

“Pasar minggu dan pasar tamu pula masih belum dibenarkan beroperasi di Fasa 2,” katanya.

Sementara itu, Zafrul berkata kerajaan akan terus memantau nilai ambang di setiap negeri sama ada boleh berpindah ke fasa seterusnya.

“Status nilai ambang di negeri ini yang telah pun mencapai tiga indicator, kita akan umum dari semasa ke semasa sama ada lima negeri yang sudah pun berada di Fasa 2 akan beralih ke Fasa 3 atau negeri-negeri yang masih dalam Fasa 1 boleh beralih ke Fasa 2,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PPN yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu menghasilkan perkembangan positif di kebanyakan negeri terutama dari segi penurunan kes harian.

“Secara keseluruhan, penggunaan nilai ambang di peringkat negeri memberi garis panduan jelas kepada setiap negeri dalam menangani Covid-19 untuk beralih ke fasa seterusnya,” katanya.

Di Fasa 2 juga, Ismail Sabri berkata, kapasiti pekerja bagi sektor swasta dan perkhidmatan perlu dinaikkan kepada 80%.

“Bagaimanapun, majikan perlu memastikan jarak fizikal dipatuhi,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa aktiviti sukan dan rekreasi yang tiada sentuhan fizikal dibenarkan termasuk altihan kemahiran kendiri, kecergasan, senaman, berbasikal, emmancing, memanah dan permotoran.

“Maklumat lebih terperinci boleh layari laman sesawang MKN,” katanya.


No comments: