Menghadap Agong: Istana Negara jadi tumpuan mulai esok


Astro Awani
Menghadap Agong: Istana Negara jadi tumpuan mulai esok
Sejak Isnin, desas-desus mula bertiup kencang yang mengatakan kesemua presiden parti politik tanahair dipercayai akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong dan beberapa parti telah mengesahkan perkara tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Esok Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka memulakan siri menerima menghadap ketua-ketua parti politik secara berasingan di Istana Negara.
Sumber ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu akan menjadi ketua parti pertama menghadap Yang Di-Pertuan Agong.
Seperti mana rutin mingguan setiap hari Rabu, Muhyiddin selaku PM menghadap YDPA untuk menyembah maklum perkembangan pentadbiran kerajaan dan negara sebelum mesyuarat kabinet.
Difahamkan, tiga ketua parti politik akan menyusul selepas Muhyiddin, namun tidak dapat dipastikan parti mana yang dipanggil esok.
Dua lagi ketua parti akan menghadap yang di-Pertuan Agong pada Khamis dan difahamkan seorang ketua parti pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pro-tem Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadap yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Khamis.
Sementara itu, Parti Warisan Sabah Warisan termasuk antara parti politik yang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.
Menurut sumber terdekat kepada Astro AWANI, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan menerima surat dipanggil menghadap tersebut tiga hari lalu.
Namun, sumber tersebut tidak mendedahkan tarikh sebenar Mohd Shafie dipanggil menghadap.
Sejak Isnin, desas-desus mula bertiup kencang yang mengatakan kesemua presiden parti politik tanahair dipercayai akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong dan beberapa parti telah mengesahkan perkara tersebut.