PKR siap sedia sidang Parlimen akhir Jun
Parlimen perlu dibenarkan kembali bersidang sebagai strategi terbaik untuk merumus dasar baharu melawan jangkitan wabak Covid 19 yang semakin membimbangkan.
Ketua Whip KEADILAN di Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, rakyat menuntut ketelusan dan pertanggungjawaban dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat gagal mengawal penularan pandemik serta lemah dalam mengendalikan program vaksinasi.
Sehubungan itu, katanya, dengan pembukaan sidang Parlimen satu perbincangan telus rentas parti boleh dilakukan oleh wakil-wakil rakyat untuk mencari solusi atau merumus strategi baharu dalam menamatkan ancaman Covid 19.
“Cara terbaik menangani hal ini adalah dengan memastikan Parlimen bersidang semula secepat mungkin. Persidangan akan membolehkan Ahli Parlimen backbencher meminta penjelasan terperinci dari menteri-menteri yang jelas telah gagal.
“Persidangan Parlimen juga akan memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen mencadangkan dasar yang lebih baik dan membolehkan semua Jawatankuasa Pilihan Khas beroperasi.
“Dengan perkara itu, dan sebagai jawapan kepada saranan Menteri Undang-Undang agar persidangan Parlimen hibrid dipertimbangkan, saya selaku Ketua Whip KEADILAN, telah mengarahkan semua Ahli Parlimen KEADILAN bersiap sedia untuk persidangan Parlimen. Saya percaya dan sangat berharap agar Parlimen dapat bersidang lebih awal dari bulan Ogos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani itu lagi, persiapan awal dibuat bagi menghadapi kemungkinan persidangan hibrid dan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN telah pun diarahkan mengadakan sesi perbincangan menerusi aplikasi zoom membicarakan isu-isu yang perlu diketengahkan dalam perbahasan.
“Pejabat saya telah mula mengatur perbincangan dasar melalui Zoom dengan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN. Hari ini, kami mengadakan sesi pertama dengan taklimat mengenai keadaan pandemik serta ekonomi negara, yang dibentang oleh Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Gopeng dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
“Taklimat dan sesi soal jawab tersebut telah mengambil masa satu jam dan selepas itu kami juga telah mengadakan sesi perbincangan dasar terbuka lebih sejam menyentuh pelbagai topik.
“Sesi taklimat seterusnya akan memberi tumpuan kepada dasar pendidikan serta luar negeri. Secara keseluruhannya, KEADILAN telah merancangkan lima sesi dalam tempoh 10 hari, dan jika perlu, jadual ini boleh dipercepat,” katanya.
Selian itu, kata Johari, Semua Jurucakap Parlimen KEADILAN turut ditugaskan untuk meneliti dan berkongsi data, dasar serta memimpin perbincangan-perbincangan dasar.
Johari berkata, semua Ahli Parlimen KEADILAN dianggap cukup bersedia untuk persidangan Parlimen seawal minggu ketiga Jun 2021.