ISTANA NEGARA ULANGI PERLUNYA SIDANG PARLIMEN SECEPAT MUNGKIN, MAHIADDIN JANGAN DEGIL LAGI

 

Setelah kenyataan media berkaitan hasil Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong pada 16 Jun lalu yang antara lain mahukan Sidang Parlimen diadakan dengan secepat mungkin seperti telah diderhakai oleh seorang menteri kabinet, Takiyuddin Hassan dan sekadar diambil maklum saja oleh Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin, Istana Negara hari ini mengeluarkan poster berkaitan hal itu melalui media sosialnya.

Di laman sosial Istana Negara telah dipaparkan poster dengan gambar Agong berpakaian rasmi selaku Ketua Negara dengan tulisan – “Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dan agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan Parlimen Perlu diadakan secepat mungkin. Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat”.


Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Istana Negara ini adalah sesuatu yang bukan biasa-biasa kerana kenyataan media berkaitan hal yang sama telah pun dikeluarkan sebelum ini.

Biasanya tiada ulangan dilakukan berkaitan hal yang pernah dinyatakan dalam kenyataan media.

Dari sudut pemahaman biasa, memuat naik poster beserta petikan kenyataan media yang intipatinya menekankan perlunya Parlimen dibuka dengan secepat mungkin, ia adalah mesej bahawa itulah sebenarnya kehendak serta keinginan Agong serta Raja-Raja.

Dalam erti kata lain, Agong dan Raja-Raja memang mahu kerajaan menetapkan tarikh sidang Parlimen dengan secepat mungkin, bukan bulan depan, bukan September, bukan Oktober atau tarikh-tarikh sebagaimana yang dicuba diputar-belit oleh Takiyuddin.

Lagi pun, dengan Istana Negara menyebut bahawa Sidang Parlimen perlu diadakan untuk membahaskan, antaranya berkaitan Ordinan Darurat, tentulah juga difahami bahawa Sidang Parlimen mesti diadakan sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos depan.

Kalau setelah tempoh darurat sudah berakhir atau selepas 1 Ogos, untuk apa lagi Ordinan Darurat perlu dibahaskan?

Maka, selain Takiyuddin dan lain-lain pengampu kuasa jangan berterusan cuba memutar-belit makna secepat mungkin yang sebenarnya sangat mudah untuk difahami, Mahiaddin juga kini tidak harus terus berdegil dengan tidak berbuat apa-apa bagi memastikan Sidang Parlimen dapat diadakan secepat mungkin.

Poster ini adalah mesej yang sangat jelas agar Mahiaddin segera bertindak menetapkan tarikh Sidang Parlimen bagi memenuhi titah Agong itu.

Ingat Mahiaddin, jangan bertangguh lagi kerana kami rakyat jelata amat sayang kepada Raja dan sama sekali tidak mahu adanya seorang Perdana Menteri yang memiliki ciri-ciri seorang penderhaka. 


(ShahbudinHusin 18/06/2021)