Kes Neelofa ‘beli karpet di Nilai 3’ sudah dirujuk pendakwa raya, kata polis
JOHOR BAHRU: Kertas siasatan terhadap selebriti Noor Neelofa Mohd Nor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang didakwa melanggar SOP Covid-19 merentas negeri membeli karpet di Nilai 3, sudah dirujuk kepada pihak pendakwa raya, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohammad Mat Yusop.
Beliau bagaimanapun berkata terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil dan diperkemaskan lagi kertas siasatan selepas dirujuk kepada pendakwa raya dan kini di peringkat akhir.
“Siasatan sudah di peringkat akhir dan telah pun dirujuk kepada pendakwa raya, serta dikembalikan semula bagi memperkemaskan lagi siasatan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Katanya, kertas siasatan itu dijangka akan lengkap dalam masa terdekat dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada pihak media.
Terdahulu, belum pun reda isu nilai kompaun dikenakan pihak berkuasa yang dikatakan terlalu rendah terhadap pasangan itu kerana melanggar SOP pada majlis perkahwinan dan rentas negeri, Neelofa dan Haris sekali lagi mencetuskan kontroversi terbaharu.
Kali ini, Neelofa dan suaminya, seorang ‘pencetus ummah’, didakwa memuat naik video di Instagram menunjukkan mereka mengunjungi sebuah kedai permaidani, dikatakan di Nilai 3, Negeri Sembilan.
Video 15 saat itu dikatakan dirakam oleh Neelofa sendiri, memaparkan perbualannya dengan seorang lelaki di kedai itu.
Pada Selasa, pasangan selebriti itu telah memberi keterangan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada 2.30 petang dan selesai kira-kira 6.45 petang, selepas empat jam keterangan mereka diambil.
Ketua Polis Daerah Nilai, Mohd Fazley Ab Rahman berkata, keterangan tersebut adalah berkaitan penularan gambar dan video dalam media sosial berkaitan pasangan tersebut yang berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai dekat sini pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, hasil carian di Instagram Neelofa tidak menemui video itu.
Perkembangan ini terus “trending” dan menjadi perdebatan antara pengguna media sosial, yang tertanya-tanya bagaimana selebriti berusia 32 tahun itu boleh berada di kedai tersebut yang dikatakan di Nilai.