POSTED BY AMIR WRLR
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu segera menjawab dakwaan dua
individu berbeza yang menerima vaksin Covid 19 dengan jumlah dos yang lebih
kecil.
Menurut Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin,
video yang tular di internet mendakwa perkara berkenaan tidak boleh didiamkan
sahaja oleh pemerintah kerana akan mengganggu keyakinan umum terhadap program
vaksinasi Covid 19 kebangsaan.
"Hal ini menimbulkan satu kebimbangan besar.
"Kerajaan PN khususnya menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin harus
segera respons dan bertindak terhadap isu ini. Jangan diikut sangat kelembapan
Perdana Menteri dalam membuat keputusan. Kita menggesa agar menteri kabinet
yang bergaji puluhan ribu ini buat kerja dengan cepat bagi mengelakkan pelbagai
persepsi awam timbul.
"Namun jika benarlah seperti dakwaan pemilik akaun twitter
berkenaan, bahawa beliau diarahkan semula untuk menerima baki dos yang
sepatutnya diambil maka perkara ini tersangat aneh dan tidak boleh diterima
akal.
"Sudahlah program vaksinasi telah sedia lembab apabila
kementerian mahu memonopoli hampir semua urusan jual beli vaksin. Tidakkah
kegagalan-kegagalan seperti ini memanjangkan lagi tempoh imuniti kelompok (herd
immunity) yang disasarkan awalnya?"
tanya Shazni dalam satu kenyataan.
Bagi Ketua Pemuda Amanah itu, sekiranya kerajaan PN tidak mahu
menjawab secara rasmi, pihak berkuasa kesihatan Malaysia bertanggungjawab untuk
mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.
Tanpa jawaban yang meyakinkan, katanya, tindakbalas umum terhadap
pemberian vaksin oleh kerajaan akan terjejas.
"Kami berpandangan jika menteri terus membisu, pihak
Kementerian Kesihatan wajar mengeluarkan justifikasi jelas berhubung perkara
ini. Isu ini besar dan memberikan impak terhadap keberkesanan vaksin yang telah
diberi.
"Jika dos yang diberikan kurang daripada sepatutnya, maka
peratusan untuk penerima vaksin dijangkiti Covid-19 masih lagi tinggi. Hal ini
akan memberi satu imej yang buruk kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,"
katanya lagi.