Adakah kita akan dapat 4 juta vaksin tambahan pada Mei?


Oleh B. Suffian

Kerajaan digesa menjelaskan sama ada anggaran 4 juta dos bekalan vaksin tambahan pada bulan ini akan tercapai, soal Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin. 

Persoalan itu dilontarkan apabila melihat betapa mendesaknya pelaksanaan vaksinasi yang lebih cepat, dengan dua pertiga bulan Mei kini telah berlalu. 

“Daripada graf anggaran, kita seharusnya telah menerima sekitar 6 juta bekalan vaksin pada pertengahan Mei. 

“Adakah bekalan vaksinasi ketika ini kurang dari anggaran sebelumnya?

“Walaupun kita tidak menoleh ke belakang dan mencari kesalahan, graf turut menunjukkan bahawa pada bulan Mei, kita akan menerima 4 juta bekalan vaksin tambahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Bee Yin yang juga mantan menteri Pakatan Harapan (PH) bertanya sama ada kerajaan akan mencari kaedah untuk mengimbangi kekurangan bekalan vaksin berbanding anggaran. 

Dalam isu kekurangan vaksin, beliau berkata, kerajaan tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada tingkah laku negara maju. 

“Kita harus mencari jalan untuk melakukan yang lebih cekap terhadap apa yang boleh kita kawal,” katanya. 

Beliau sekali lagi menyeru kerajaan untuk menggunakan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat sehingga negara dapat mencapai sasaran vaksinasi yang telah ditetapkan sebelum ini. 

Sasaran itu ujarnya, iaitu bekalan yang setara dengan 80 peratus penduduk pada bulan Oktober dan 80 peratus penduduk yang diberi vaksin sepenuhnya menjelang Februari 2022.

“Pembangkang (parti dan negeri) serta sektor swasta bukanlah musuh kerajaan dalam hal ini, masih ada ruang untuk lebih banyak kolaborasi yang dapat dimanfaatkan oleh kerajaan. 

“Ini agar kita dapat bersama-sama, memastikan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.