Selepas setahun, petugas penjagaan kesihatan masih tidak cukup, kata bekas timbalan menteri

 

Kerajaan sebelum ini digesa mengambil 10,000 pekerja khas, termasuk graduan menganggur, untuk membantu proses pengesanan kontak.

PETALING JAYA: Selepas lebih setahun penularan wabak Covid-19, negara masih kekurangan sumber tenaga manusia dalam sektor kesihatan awam dan ini menunjukkan perancangan lemah kerajaan, kata bekas timbalan menteri kesihatan.

Mengulas cadangan untuk membenarkan pesakit Kategori 1 dan 2 dirawat di rumah, Dr Lee Boon Chye dari PKR berkata, ia mungkin dapat mengurangkan jumlah pesakit di hospital kerajaan dan pusat kuarantin.


Dr Lee Boon Chye berkata, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah adalah pilihan

Bagaimanapun aset penjagaan kesihatan swasta sudah digunaan dan kini mencapai kapasiti penuh untuk pesakit Covid-19 katanya, sekali gus menunjukkan Putrajaya gagal menangani isu teras tenaga kerja sejak 14 bulan lalu.

“Kerajaan sepatutnya sudah mempunyai kapasiti lebih besar untuk pengesanan kontak yang berkesan. Jika setiap kontak rapat boleh dikenal pasti, diuji dan diasingkan dalam 48 jam, kes harian boleh dikurangkan dengan cepat.

“Pengesanan kontak ialah satu-satunya langkah paling berkesan untuk mengawal pandemik itu.”

Lee sebelum ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil 10,000 pekerja khas, terdiri daripada graduan menganggur dan mereka yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik untuk membantu proses pengesanan kontak.

Katanya, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah masih pilihan terbaik untuk pesakit Kategori 1 dan 2, khasnya akibat risiko penularan virus kepada ahli keluarga ketika dirawat di rumah.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Putrajaya membenarkan hospital swasta merawat lebih ramai pesakit bukan Covid-19 bagi membantu sistem penjagaan kesihatan awam memfokuskan kes Covid-19.

Presidennya, Dr Subramaniam Muniandy berkata, pengurusan sebahagian daripada pesakit itu boleh disumberluarkan dengan “bayaran yang adil” bagi membantu KKM mengoptimumkan sumbernya dalam menangani pandemik itu.

Dr Subramaniam Muniandy.

Katanya, doktor swasta sepatutnya diambil untuk ujian besar-besaran dalam masyarakat, menggunakan semua sumber sedia ada di setiap negeri dan ditambah dengan pangkalan data berpusat.

“Seperti yang anda tahu, banyak pembedahan elektif dan janji temu susulan di hospital kerajaan ditangguhkan kerana lonjakan kes Covid-19.

“Di sinilah penjagaan kesihatan swasta boleh digunakan dengan koordinasi yang baik untuk mengoptimumkan kerjasama.

“Kami sudah mencadangkan doktor pelatih yang menunggu penempatan, pelajar perubatan, pelajar kejururawatan dan pembantu perubatan dengan pengetahuan perubatan asas diambil untuk membantu pengesanan kontak serta beberapa tugas pentadbiran. Ini akan mengurangkan beban Pejabat Kesihatan Daerah dan hospital kerajaan.

“Terdapat kekurangan tenaga kerja sangat serius dalam sektor penjagaan kesihatan kerajaan. Kakitangan perubatan terlebih kerja serta kepenatan dan ini akan menjejaskan sistem dan standard penjagaan.”

Subramaniam berkata, merawat pesakit Kategori 1 dan 2 di rumah sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pekerja penjagaan kesihatan, tetapi mereka perlu dipantau dengan betul untuk mengelakkan perkembangan tidak diingini.

Katanya, keadaan pesakit mungkin bertambah teruk dalam masa kurang seminggu selepas gejala pertama berlaku, yang menekankan keperluan untuk pemantauan rapi.