Hadi pesan kepada pelampau agama, hentikanlah dengan bermudah-mudah kafirkan orang lain
Operasi ketenteraan yang dilancarkan ke atas Gaza adalah percubaan Israel dengan restu negara-negara sekutunya atas nama menentang Hamas dan Tanzim Jihad. Kedua-dua gerakan yang diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh negara Barat dan beberapa negara Arab. Mereka kini bukanlah tiada rasa malu, tetapi sudah tiada maruah. Kemudian berhempas pulas, apabila pejuang Islam melancarkan serangan balas dengan hebat melalui serangan udara yang dahsyat. Dahulu hanyalah intifadah dengan batu, kini bertukar kepada intifadah dengan roket.
Intifadah bermula dengan keganasan yang dilakukan oleh Israel, apabila Perdana Menteri negara haram itu, Benjamin Netanyahu yang membentuk kerajaan campuran yang disokong oleh parti-parti pelampau mengambil langkah berani dan bodoh dengan sokongan pendatang daripada pelampau Yahudi yang berduyun-duyun.
Seterusnya bertindak menceroboh Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadhan yang mulia. Dahulunya mendapat sokongan Donald Trump yang bodoh dan juga melampau oleh rakyat Amerika yang dipengaruhi oleh Zionis, sehingga mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang sah. Hari ini pula bertindak menceroboh kawasan Sheikh Jarrah dengan rampasan dan rompakan rumah, seterusnya menghalau penduduknya yang bermukim (dahulunya rumah Sheikh Amin al-Husaini yang diroboh dan dibina hotel). Pendatang itu datang dengan ganas dan bersenjata, dan mereka dilindungi pula oleh pasukan polis dan tentera yang lengkap bersenjata.
Apa yang telah mereka lakukan itu dianggap sebagai langkah proaktif, tetapi pada hakikatnya laksana memukul sarang tebuan. Israel cuba bertindak balas dengan menyerang ganas ke atas Gaza melalui tindakan paling ganas, atas slogan menjaga keselamatan Israel. Beberapa negara Barat juga membuat kenyataan, bahawa tindakan Israel itu adalah hak mereka yang sah. Namun, mereka masih gagal menguasai keseluruhan kawasan dan akhirnya kebangkitan merebak ke seluruh bumi Palestin.
Oleh kerana itu, penentu menang dan kalah dalam pertempuran antara kedua-dua pihak ialah serangan darat. Maka, tanda-tanda telah menunjukkan bahawa Israel takut untuk meneruskan serangan mereka. Justeru itu, mereka mengambil pendekatan politik secara diplomatik dan media dengan sokongan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya termasuklah negara-negara Arab dan Islam yang kecil dan lemah lagi hina. Begitu juga, peranan media bagi melindungi keganasan yang telah dilakukannya.
Pendekatan pertama secara diplomatik telah dilakukan dengan pendekatan solusi dua negara (two-state solution) untuk kedua-dua bangsa Arab dan Yahudi, disusuli oleh Perjanjian Camp David pada tahun 1978, Perjanjian Madrid pada tahun 1991 dan Perjanjian Oslo pada tahun 1993, serta melakukan normalisasi dengan mengiktiraf kewujudan negara Israel dan wujudnya negara Palestin hanya menjadi angan-angan.
.................................................