Malaysia perlu bersuara lantang bersama negara-negara miskin lain yang tidak mendapat bekalan vaksin mencukupi.
Tujuh negara terkaya di dunia – Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun memonopoli dan menyorokkan stok vaksin yang telah dihasilkan.
Ini didedahkan oleh Pengarah UNICEF, Henrietta Fore. World Health Organization (WHO) perlu bertindak demi keselamatan umat manusia.
Hampir semua tujuh negara terkaya di dunia itu, punya rekod jahat sebagai kuasa kolonial yang menjajah negara-negara miskin di Asia, Afrika, dan Latin Amerika.
Sampai sekarang, walaupun telah merdeka, kebanyakan negara bekas tanah jajahan itu masih mundur dan miskin setelah kekayaan negara mereka dipunggah ke negara-negara terkaya di dunia itu.
Fenomena ini tidak adil. Malaysia sendiri sampai sekarang tidak mendapat bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyatnya.
Menurut UNICEF, 7 negara terkaya itu berupaya kalau mereka jujur dan bertimbangrasa untuk menyumbang lebih daripada 150 juta dos vaksin kepada negeri-negeri yang amat memerlukan.
Selain India, negara-negara seperti Nepal, Sri Lanka, Maldive, Argentina, Brazil dan Malaysia juga perlu dibantu. Dalam kes Malaysia, kita mampu membayar harga vaksin itu. Malaysia bukan negara peminta sedekah.
Malaysia tidak minta vaksin secara percuma. Soalnya di manakah stok vaksin itu disorok sekarang? Celaka sungguh negara-negara terkaya yang berfikiran imperialis ini.
Amerika Syarikat yang kononnya juara demokrasi dan Free World menyorok berjuta-juta vaksin jenama AstraZeneca. Menurut UNICEF lagi, Amerika Syarikat mampu menderma 60 juta dos vaksin AstraZeneca itu, kalau ia mahu berbuat demikian.
Itu tidak akan menjejaskan program vaksinasi untuk rakyatnya sendiri. Tetapi, Amerika Syarikat hanya akan berbuat demikian jika ia dapat memenuhi strategi geopolitiknya yang bersikap penjajah itu.
Malaysia, sebuah negara berdaulat yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bersuara di pentas dunia antarabangsa. Setakat ini sebanyak kira-kira 44% daripada 1.4 bilion dos vaksin Covid-19 yang telah disuntik di seluruh dunia adalah dikalangan penduduk di negara-negara kaya sahaja.
Penduduk di negara kaya tersebut hanya merupakan 16% daripada penduduk dunia. Ini statstik dari UNICEF juga. Adakah ini adil?
Rakyat Malaysia masih berada di fasa pertama program vaksinasi. Berjuta-juta orang, tua dan muda masih menunggu-nunggu.
Dunia yang tidak adil. Hanya 0.3 % rakyat di 29 negara termiskin di dunia yang didiami oleh 9% penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin. Tak sampaipun 1%.
Keadaan di Malaysia mungkin lebih baik sedikit berbanding dengan 29 negara-negara miskin dan mundur ini. Tetapi Malaysia mesti bersuara. Kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri sahaja .
Pada bulan Jun depan, 7 negara terkaya ini akan bermesyuarat di Sidang Puncak mereka di United Kingdom. Biarlah mereka mendengar suara kita.
Dasar Apartheid 7 negara terkaya dunia ini dalam soal agihan vaksin perlu ditelanjangi. Jika Malaysia menjadi juara menentang dasar Afartheid di Afirika Selatan, lebih 50 tahun lalu, kini kita menutut Kerajaan Malaysia bersuara lantang di pentas antarabangsa dalam soal keadilan mendapatkan bekalan vaksin untuk penduduk dunia. Bersenyap-senyap diri, bukanlah suatu pilihan.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
17 Mei 2021 (Isnin)