Speaker Dewan Rakyat digesa guna kuasa, benar Parlimen bersidang

 


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata menjadi tanggungjawab speaker Dewan Rakyat Azhar Harun untuk mempertahankan Parlimen. 

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun digesa menggunakan kuasa perlembagaannya dan menyatakan Parlimen boleh dan perlu segera bersidang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, kuasa ketua badan perundangan itu, adalah setara dengan perdana menteri yang memimpin kerajaan dan ketua hakim, yang mengetuai badan kehakiman.

“Dalam pengertian ini, menjadi tanggungjawab seorang speaker untuk mempertahankan Parlimen dan dengan terbuka meminta perdana menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong memanggil Parlimen untuk bersidang ketika darurat sedang berkuatkuasa.

“Saya sedih kerana speaker seolah tidak bersama kita dalam memastikan nasihat Yang Di-Pertuan Agong dipatuhi,” katanya, merujuk kepada kenyataan Istana Negara pada Februari lalu.

Kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkataParlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Baginda atas nasihat perdana menteri.

Beliau berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata Azhar perlu menggunakan kuasanya sebagai speaker untuk meyakinkan perdana menteri memanggil semula Parlimen.

“Speaker perlu memberitahu perdana menteri bahawa keadaan telah berubah. Terlalu banyak ‘flip-flop’.

“Parlimen digantung kerana Covid-19 tetapi sekarang, jumlah kes dan kematian melonjak. Rasional untuk menggantung Parlimen tidak lagi terpakai. Speaker perlu bertegas dan melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.

Azhar baru-baru ini menjelaskan kenyataan yang dibuatnya pada Januari berhubung jawatankuasa khas dan bebas boleh meneruskan mesyuarat ketika sidang Parlimen digantung.

Beliau berkata Ordinan Darurat yang menggantung Parlimen juga meliputi mesyuarat jawatankuasa pilihan. “Saya tidak boleh melanggar undang-undang itu,” katanya.