By
-
18 May 2021
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee
Keong mempersoalkan bagaimana Sarawak boleh mendapat kelulusan Kerajaan
Persekutuan untuk membeli bekalan vaksin Covid-19 sedangkan Pulau Pinang tidak
menerima kelulusan yang sama.
Dakwanya, sejak 15 Februari 2021, kerajaan negeri Pulau Pinang
telah memohon kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima
sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac bagi kegunaan rakyat negeri itu tanpa
melibatkan kos kepada kerajaan persekutuan.
Namun selepas tiga bulan, permohonan
tersebut masih tidak mendapat maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan.
”Beberapa hari lepas, Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan
Sarawak Dr Annuar Rapaee mengatakan Sarawak bakal menerima 500,000 dos vaksin
Covid-19 Sinovac yang dibeli melalui inisiatif kerajaan negeri.
”Mengapa permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan vaksin
Covid-19 tidak mendapat sebarang maklum balas KKM selepas tiga bulan sedangkan
Sarawak sudahpun mendapat kelulusan?
”Adakah ini kerana perbezaan politik
antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang?,” soalnya.
Steven berkata, isu bekalan vaksin adalah masalah utama dalam
program imunisasi sekarang apabila bekalan vaksin tidak mencukupi.
Walaupun pemberian vaksin sudah bermula pada Fasa 2 April lalu,
sehingga kini, masih ramai warga emas yang merupakan kumpulan sasaran bagi fasa
ini masih belum mendapat tarikh untuk menerima dos pertama mereka.
“Dalam kenyataan saya sebelum ini, saya
telah memberi amaran bahawa matlamat vaksinisasi 9.4 juta penduduk Malaysia
menjelang Ogos 2021 dan seterusnya sasaran vaksinisasi 80% penduduk Malaysia
pada hujung tahun ini akan gagal jika kerajaan tidak membuat perubahan yang
drastik kepada proses sedia ada bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19
Kebangsaan (PICK) pada masa kini.
Jelasnya, semakin hari semakin ramai rakyat yang terkorban
dengan sia-sia dengan kematian harian tertinggi mencecah 45 orang dan kini
berjumlah 1,947 orang.
Jangkitan gelombang ketiga Covid-19 juga melonjak tinggi
sehingga kembali ke paras 4,000 kes baharu setiap hari.
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu melakukan apa sahaja untuk
memastikan benteng terakhir negara iaitu PICK tidak gagal seperti strategi
melawan Covid-19 sebelum ini.
Steven berkata, ini bukannya masa untuk berpolitik dan Kerajaan
Persekutuan perlu bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri
tanpa melihat kepada perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan Covid-19.
Menurut beliau, Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengenepikan
perbezaan politik dan menjadi antara negeri terawal menyahut seruan Kerajaan
Persekutuan untuk bekerjasama melawan Covid-19 sejak bermulanya Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.
”Apabila kerajaan negeri Pulau Pinang kini sanggup memberi
bantuan kepada kerajaan persekutuan dalam pelaksanaan PICK, jangan pula menolak
tanpa sebarang alasan yang munasabah,” ujarnya.