Usah sibuk jadi perkakas politik - Anwar

 




POSTED BY AMIR WRLR


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pihak berkuasa polis seharusnya menjalankan siasatan terhadap kes-kes yang lebih penting berbanding kes rakaman audio percakapan yang didakwa melibatkan beliau dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Ini selepas beliau dipanggil di Bukit Aman sebagai saksi kepada kes tersebut mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

"Saya beri kerjasama untuk keterangan. Saya tak tahu ini kes rasuah mana, kes jenayah apa, ugutan mana, tapi saya beri kerjasama. Kalau ada pendakwaan saya akan beri keterangan lengkap.

"Tetapi ketika dipanggil, saya bangkitkan beberapa perkara kepada pihak polis. Kenapa isu ini mahu dijadikan isu politik oleh kerajaan yang nampak sangat terdesak sekarang.

"Apa kaitannya dengan kemelesetan ekonomi, kegawatan politik dan penyalahgunaan kuasa yang ada sekarang?" soalnya.

Beliau berkata, pihak polis tidak pula menyiasat penyebaran luas di media sosial mengenai audio rakaman didakwa melibatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai 'schemes of things'.

"Jadi saya tanya ada siasatankah? Setakat yang saya tahu, belum ada siasatan, tapi inilah, selalu ada dua darjat antara pemimpin dan orang bawah tidak kira dalam hukuman, pendakwaan dan penyiasatan.

"Terkini ada penyebaran audio didakwa suara Hamzah Zainuddin mengenai mengatur orang kita sebagai pegawai kanan tertinggi polis.

"Jadi saya nak tanya sekali lagi adakah ada siasatan dalam kes yang seperti ini kerana ia jauh lebih serius kerana melanggar peraturan dan jaminan beliau untuk tidak campur tangan dalam urusan ini," katanya.

Beliau selaku Presiden KEADILAN turut mempersoalkan bagaimana rakyat boleh menaruh harapan terhadap pihak berkuasa jika ia terus-terusan menjadi perkakas politik.

"Dulu ada rakaman mantan perdana menteri dan isteri, sekarang ada rakaman menteri dalam negeri.

"Siapa yang boleh dianggap selamat dalam negara ini, ini mesti dijawab polis.

"Saya juga menyarankan supaya polis harus tumpu banteras jenayah.

"Kita sokong dalam kes Jho Low, kes geng Nicky tapi jangan sibuk dengan hal-hal yang tiada kaitan langsung, jadi perkakas politik. Dia boleh nafi tapi lazimnya rakyat tahu," katanya.