Sejak perlaksanaan beberapa jenis PKP untuk menangani Covid19, kemudian disertai pula dengan darurat, sudah ramai yang dikenakan denda kerana didapati melanggar SOP.
Pelajar matrikulasi di asrama sudah didenda.
Peniaga burger juga didenda, malah dengan kadar tertinggi setakat ini iaitu RM50 ribu.
Masjid sebagai tempat ibadah pun sudah didenda sama.
Bahkan, terbaru Neelofa bersama suaminya turut tidak terkecuali dikenakan denda, meski tempoh menjalankan siasatan yang diambil cukup lama.
Setelah lama disiasat, baru hari ini pengumuman denda diumumkan dan tidak seperti peniaga burger, pelajar dan masjid di mana semuanya didenda serta-merta.
Yang penting, semuanya didenda, walau tidak dinafikan ada yang ternampak tidak masuk akal.
Malah, dalam berita yang boleh dibaca setiap hari, ramai lagi yang juga didenda.
Semuanya kerana didapati melanggar SOP.
Tetapi, bila lagi Perdana Menteri, Mahiaddin Md. Yasin mahu didenda?
Bukankah sudah lama tersebar di media sosial gambarnya tidak memakai pelitup muka ketika berada di sebuah hotel di Johor Bahru?
Kenapa setakat ini tidak terdengar ada sebarang siasatan dijalankan terhadap beliau?
Kalau di Thailand, Perdana Menterinya sendiri boleh didenda kerana tidak memakai pelitup muka, kenapa tidak dengan Perdana Menteri negara kita?
Apa bezanya Perdana Menteri Thailand dengan Perdana Menteri Malaysia kalau kedua-duanya melakukan kesalahan yang sama?
Tidakkah setiap negara sama saja dalam menjunjung undang-undang sebagai peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua?
Atau Mahiaddin, di sebalik kedudukannya dipertikai kerana ditanggapi tiada majoriti, beliau terlalu istimewa kedudukannya di sisi undang-undang kita? (ShahbudinHusin 27/04/2021)