JOHOR BAHRU: Polis menahan 10 pegawai sendiri termasuk seorang dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dalam operasi terhadap ‘Geng Nicky’ di serata negara, kata Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Selain pegawai dari jabatan tatatertib itu, Ops Pelican 3.0 Fasa II menyaksikan seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; empat pegawai dari Kontinjen Selangor temasuk ketua balai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, ditahan.
“Di Kontinjen Melaka, seorang ditahan dari IPD Melaka Tengah; di Kontinjen Kuala Lumpur, dua pegawai dari IPD Sentul; dan Kontinjen Negeri Sembilan, seorang pegawai bertugas di Pusat Latihan Polis Air Hitam,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, polis turut menahan seorang penolong pesuruhjaya dan seorang penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bertugas di ibu pejabat badan anti-rasuah itu di Putrajaya.
Ops Pelican 3.0 Fasa II dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dari 21 Apr hingga 27 Apr.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA.
“Semua ditahan selama 28 hari bawah SOSMA dan untuk Ops Pelican 3.0 Fasa II kita hentikan hari ini,” katanya.
“Sebarang tangkapan atau penahanan selepas ini akan memasuki fasa ketiga,” tambah beliau.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memaklumkan pihaknya mengesyaki terdapat 34 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa yang melindungi kegiatan Geng Nicky.
Sebelum ini, Ayob mengesahkan sudah memberkas pegawainya sendiri selain menggunakan jaringan polis antarabangsa, Interpol, untuk menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee, dan pembantunya, Niu Zhe, seorang warga China.
Beliau enggan menyerahkan senarai nama pegawai yang bersekongkol dengan “Geng Nicky” kepada Bukit Aman, dan berjanji mengheret mereka ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah terancang.
Ayob berkata, tidak ada guna beliau mendedahkan senarai nama pegawai dan anggota terbabit untuk diberikan kepada JIPS Bukit Aman bagi diambil tindakan tata tertib, sebaliknya mahu membawa semua pegawai terbabit ke muka pengadilan.
“Saya tidak akan serah pada JIPS untuk ambil tindakan. Saya hendak ambil tindakan bawah jenayah terancang. Bagi saya itu yang paling tepat, mudah, paling tegas untuk kita ambil tindakan,” katanya.