POSTED BY AMIR WRLR
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Farhash Wafa
Salvador menyifatkan sidang Parlimen perlu segera bersidang semula meskipun
dalam tempoh darurat.
Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) seharusnya mendengar desakan rakan partinya Umno yang turut mahu Parlimen dibuka.
"Ketegasan yang ditunjukkan Umno adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.
"Kenyataan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibenarkan bersidang semula menunjukkan kematangan politik Umno walaupun sedang berada di dalam kerajaan," katanya.
Pada masa sama, Farhash berpandangan situasi rakyat semakin meruncing, namun ketiadaan semak dan imbang bagi sebuah pentadbiran yang demokratik hanya mengundang kemudaratan kepada ekonomi negara.
"Baru-baru ini juga timbul persoalan di mana Kumpulan Wang Amanah Negara tidak diuruskan dengan baik, malah menghadapi risiko 'dijarah' sekiranya kerajaan PN terus menggunakan kuasa darurat untuk mengelak akauntabiliti.
"Semoga Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap terbuka dalam hal ini dan menyedari bahawa pentingnya amanat rakyat diutamakan sebelum kepentingan politik," katanya.