Tangguh Undi 18 jauhkan anak muda dari politik
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memberi amaran, sikap tidak serius kerajaan untuk mengalakkan anak muda berumur 18 tahun menyertai sistem demokrasi hanya akan menjauhkan mereka daripada politik negara.
Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, hal ini ditambah pula dengan kenyataan sinis dari ahli politik yang memandang enteng kemampuan anak muda dalam membuat keputusan dalam pilihan raya.
“Abim mendapati seolah tiada penumpuan yang serius pihak bertanggungjawab berkenaan agenda untuk meluaskan lagi ruang demokrasi kepada anak muda khususnya warga yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya dipetik.
Jelasnya, pihak parti bertanggungjawab juga perlu serius dalam usaha melaksanakan Undi 18 kerana keputusan meminda Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan tersebut telah dipersetujui oleh majoriti ahli parlimen.
Kebanyakan anak muda, kata Muhammad, sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab mereka, dengan mengundi, pada pilihan raya umum (PRU) kelak.
“Abim ingin menekankan dalam beberapa siri wacana dan libat urus berkaitan pendidikan demokrasi yang dijalankan kepada pelajar sekolah menengah atasan dan mereka yang berusia 18 ke atas.
“Kami mendapati majoriti besar dari mereka sudah bersedia serta bijak untuk membuat pilihan memilih wakil rakyat dalam PRU akan dating,” jelasnya.
SPR baru-baru ini memaklumkan akan menangguhkan Undi 18 kepada September tahun depan antaranya atas sebab perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menjejaskan persiapan pelaksanaannya.
Majoriti aktivis anak muda dan ahli politik mengkritik pengumuman tersebut dan menggesa SPR melaksanakan Undi 18 pada Julai ini.
Sementara itu, Muhammad mengambil maklum kebanyakan negara serata dunia sudah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
“Justeru, adalah satu tanggungjawab moral dan amanah untuk mereka terbabit untuk menyegerakan dasar undi 18 sebagai ruang anak muda untuk berperanan dalam sistem semak dan imbang serta memantau kebertanggungjawaban kerajaan,” tambahnya.