Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akhirnya mengesahkan
menteri-menteri UMNO telah datang menemuinya pada Isnin lalu susulan ketetapan
PAU2020 yang memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, seterusnya memberi
mandat kepada Presiden dan MT UMNO menetapkan tarikh yang sesuai untuk
meninggalkan kerajaan.
Kata Muhyiddin, menteri-menteri UMNO datang untuk meminta
nasihatnya berkenaan kedudukan mereka dalam kabinet.
Lanjutan itu, tegas Perdana Menteri, “Saya telah menasihati
mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini mengambil kira
kepentingan rakyat dan negara.
“Justeru, saya tidak mahu perletakan jawatan mereka dari kabinet
menjejaskan segala perancangan Kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 dan
memulihkan ekonomi negara.
“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan
telah dicapai bahawa semua menteri UMNO akan terus kekal berada dalam kabinet”.
Di atas adalah sebahagian petikan kenyataan media yang
dikeluarkan Muhyiddin berhubung perjumpaannya dengan menteri-menteri UMNO itu.
Apa yang paling mudah difahami daripada kenyataan media
tersebut?
Jelas dan terbukti bahawa daripada kenyataan media itu
Muhyiddinlah yang sebenarnya telah menasihati menteri-menteri UMNO agar tidak
meletakkan jawatan.
Meskipun ketetapan PAU adalah putus hubungan dengan Bersatu dan
menteri-menteri UMNO akan meninggalkan kerajaan setelah ditetapkan oleh MT atau
menjelang 1 Ogos iaitu sebaik tempoh darurat berakhir, tidak mustahil ada di
kalangan menteri-menteri UMNO yang menyatakan kesediaan meletakkan jawatan
mereka lebih awal lagi, sesuai dengan tujuan kedatangan mereka berjumpa itu
adalah untuk meminta nasihat berkenaan kedudukan mereka dalam kerajaan.
Tetapi, oleh kerana Muhyiddin takut kerajaannya jatuh dan
kedudukannya sebagai Perdana Menteri berakhir, maka beliau telah menasihati
mereka agar tidak berbuat demikian.
Tidak mustahil juga dalam menasihati itu Muhyiddin turut merayu
mereka agar jangan letak jawatan.
Kalau bukan kerana takut kedudukannya berakhir, untuk apa
Muhyiddin menasihati atau mungkin merayu mereka agar jangan letak jawatan?
Bukankah beliau boleh berpendirian, “Terserahlah kepada anda
semua sama ada nak letak jawatan atau tidak kerana UMNO sudah membuat ketetapan
sedemikian”.
Lebih gentleman lagi, oleh kerana MT UMNO akhirnya pasti akan
membuat keputusan meninggalkan kerajaan pada masa yang sesuai atau menjelang 1
Ogos depan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang tidak boleh dilihat lekeh,
seharusnya berkata, “Eloklah anda semua undur diri sekarang sebelum saya ambil
tindakan memecat dan menggantikan dengan orang lain”.
Namun, kenapa Muhyiddin tidak berani berbuat demikian?
Tidakkah dengan orang yang sudah membuat ketetapan untuk putus
hubungan, seseorang itu seharusnya berani “menghalau” mereka tanpa gentar atau
berlengah lagi?
Apa barang jadi Perdana Menteri tapi masih tiada keberanian seperti pahlawan?
(Shahbudindotcom 31/03/2021)