Setahun ‘tebuk atap’: Takiyuddin anggap rejim 22 bulan diganti kerajaan prihatin rakyat
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai prihatin rakyat dengan tanpa sesiapa yang tertinggal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata demikian selepas genap setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang digelarnya “rejim 22 bulan” tumbang.
Ahli Parlimen Kota Bharu berkenaan bahkan menyelar PH sebagai kerajaan yang memerintah dengan haloba.
“Setahun lalu (23 Februari 2020) jatuhnya Regim 22 bulan yang tidak cakna rakyat, memerintah dengan haloba opportunist, syukur diganti Kerajaan Prihatin Rakyat, no one will left behind,” katanya sebentar tadi di Twitter beliau.
Setahun lalu, PH yang membentuk kerajaan dengan 138 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018 hilang majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat selepas pengkhianatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 Ahli Parlimen PKR.
Digelar Langkah Sheraton, 20 Ahli Parlimen Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin dan wakil rakyat PKR yang merupakan kumpulan penyokong Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin itu keluar PH mengakibatkan gagasan tersebut hanya berbaki 101 kerusi.
Rampasan kuasa yang membawa kepada terbentuknya kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun tidak mendapat sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima Ahli Parlimen yang sebelum ini dalam Bersatu.
Turut enggan terbabit dalam pembentukan kerajaan pintu belakang tersebut ialah Shafie Apdal yang ketika itu Ketua Menteri Sabah serta 10 lagi dalam kumpulannya.
Sejak 12 Januari lalu, kerajaan PN yang turut disokong 18 Ahli Parlimen Pas hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja.