150 pemimpin masyarakat Parlimen Wangsa Maju rayu Agong pendekkan darurat

 


POSTED BY AMIR WRLR


Sebanyak 150 pemimpin masyarakat, pertubuhan politik, NGO, veteran tentera dan ketua-ketua kampung di Parlimen Wangsa Maju merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar memendekkan tempoh darurat.

Selain itu, mereka juga mengemukakan rayuan supaya Agong mempertimbangkan pembentukan kerajaan baharu yang lebih stabil.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew yang menerima surat dari pemimpin-pemimpin masyarakat bagi diserahkan kepada Istana Negara turut merayu Yang di-Pertuan Agong untuk meneliti kelemahan ketara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan bertindak sewajarnya.

"Antara isu yang dibangkitkan (dalam surat) adalah kesulitan kewangan dihadapi penduduk Wangsa Maju, kerisauan mereka terhadap ketidakstabilan dan kegagalan berfungsi Kerajaan PN serta hilang keyakinan terhadap kemampuan kerajaan membendung pandemik dan memulihkan ekonomi.

"Untuk menangani situasi krisis masa ini kita memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil, Kabinet yang cekap dan berkesan serta seorang Perdana Menteri yang berkebolehan serta mendapat sokongan majoriti di Parlimen memimpin negara. Kami berpendapat kerajaan PN amat lemah dan tidak stabil, Kabinet telah gagal berfungsi dan kami yakin Perdana Menteri telah kehilangan sokongan majoriti



"Oleh itu, kami memohon kepada Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan dan kuasa Perlembagaan untuk membantu rakyat dan negara dengan melantik seorang Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti dan mampu membentuk pemerintahan stabil dan berkesan, sehingga sebuah kerajaan baharu dipilih.



"Kami juga memohon kepada Agong untuk memendekkan tempoh darurat yang tidak membantu membendung pandemik, tetapi telah menghambat pemulihan ekonomi, melemahkan peranan dan fungsi Parlimen serta mencemarkan imej negara," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Wangsa Maju, semalam.




Menurut Dr Tan lagi, sebagai ahli politik yang telah berkhidmat sejak 25 tahun lalu, kerajaan yang ada hari ini menurutnya, adalah yang paling lemah dan tidak terurus dalam sejarah

Katanya, pemerintahan darurat yang dikuatkuasakan sejak 11 Januari lalu bakal menimbulkan impak besar kepada ekonomi selepas wabak Covid berakhir dan pelabur tidak lagi berminat menanam modal di Malaysia.

"Dari segi perniagaan jangka masa pendek, saya rasa impak tidak banyak sebab peniaga dibenarkan berniaga ikut SOP. Pada jangka panjang impaknya serius. Darurat beri imej tak stabil kepada negara. Impak kepada pelabur asing, mereka tak mahu datang. Yang ada cuba pindah ke negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

"(Kita selamat kerana) banyak aktiviti ekonomi di negara lain tidak boleh dijalankan secara normal (akibat Covid). Tetapi jika aktiviti ekonomi pulih semula maka persaingan serantau akan jadi semakin kuat. Masa itu impak darurat akan dirasakan dan kita tidak boleh bersaing dengan negara lain," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Kampung Padang Balang Hj Rosden berkata, perintah darurat telah merosakkan imej negara di mata dunia yang menganggap Malaysia kurang sesuai untuk aktiviti ekonomi dan penanaman modal.

"Saya mewakili kampung-kampung di sekitar Kuala Lumpur merasakan ini (darurat) seburuk-buruk perkara yang berlaku dalam negara kita. Imej darurat memberi masalah kepada keseluruhannya. Contohnya pelabur khuatir negara ini tidak stabil.

"Sahabat kami di Johor yang mengusahakan tanaman kunyit, nenas tak dapat memasarkan hasil ke Singapura kerana pihak di sana kata Malaysia dalam keadaan darurat, apa perlunya ambil barang-barang itu kerana keadaan tidak stabil," katanya.

Beliau juga menimbulkan pertanyaan mengapakah Dewan Undangan Negeri (DUN) dihalang bersidang sewaktu darurat? Sedangkan katanya, banyak negeri yang situasi Covid 19 hampir pulih tetapi sidang DUN dihalang.

"Bagi ADUN negeri yang tidak berat sangat masalah Covid kenapa DUN tidak dibenarkan? Rakyat lantik wakil kenapa mereka tidak dibenarkan menyuarakan pendapat (dalam sidang DUN)?" tanyanya.

Ketua Kampung Puah Seberang, Hassan Jauma pula meluahkan kekhuatirannya mengenai kemerosotan ekonomi yang mengakibatkan penutupan beberapa kilang besar yang telah lama beroperasi di Malaysia.

"Kawasan kami banyak yang terjejas. Di kampung kami ramai yang bekerja di kilang Silverstone tetapi kilang itu telah ditutup. Mereka tiada kerja sekarang.

"Sepatutnya kerajaan PN panggil syarikat-syarikat pujuk jangan keluar sehingga keadaan stabil. Sedangkan dulu saya baca satu artikel bila peniaga (pelabur) mahu keluar kerajaan akan pujuk.

"Masalahnya rakyat tiada kerja dan mereka mahu berniaga. Mereka berniaga (jeruk) mangga di simpang jalan (lampu isyarat) tetapi polis tangkap pula mereka, menjadi satu kesalahan katanya. Jadi macam mana mereka nak cari makan," kata Hassan.

Makanakala wakil persatuan veteran tentera dari NGO Pahlawan, Mohd Mustafa Ghazanfar pula berkata, kerajaan PN tidak menghormati lunas undang-undang dan mencemar imej negara dengan perisytiharan darurat.

Oleh itu, katanya, rakyat terpaksa merayu kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai situasi buruk yang melanda negara hari ini.

"Veteran-veteran akan bangkit kerana kami yang mendukung kedaulatan negara pada hari ini. Kami yang menentang komunis pada masa dulu. Oleh itu saya memohon kebijaksanaan Tuanku," katanya.

Surat-surat dari 150 pemimpin masyarakat itu dijadualkan akan diserahkan pada 22 Februari. Bagaimanapun pegawai Istana Negara tidak membenarkan serahan kerana terikat dengan SOP Covid 19.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju mengumpulkan surat-surat berkenaan untuk diserahkan kepada Istana Negara melalui wakil.