Kerajaan Selangor akan membeli tiga hingga
lima juta dos vaksin COVID-19 bagi mengawal penularan wabak terbabit.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari,
berkata langkah itu menjadikan bekalan vaksin COVID-19 mencukupi untuk penduduk
Selangor dan memastikan kesihatan rakyat terus terjamin.
“Selangor perlu membeli sebab keperluannya
lebih kerana industri negeri memerlukan pekerja, termasuk pekerja asing.
“Setakat ini, vaksin COVID-19 disediakan
kepada warganegara. Mereka (pekerja asing) perlu membeli vaksin terbabit,”
katanya, hari ini.
Amirudin ditemui selepas Majlis Perasmian
Dataran Patriotik Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, di sini.
Amirudin berkata, pembelian vaksin itu akan
dibincangkan dengan Kerajaan Persekutuan, selain dibawa pada Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri, Rabu ini.
“Saya sedang usahakan sejak minggu lalu dan
akan muktamadkan apabila semua urusan selesai,” katanya.
Ketika ditanya mengenai langkah kerajaan
negeri membendung penularan susulan Selangor mencatatkan bilangan kes COVID-19
harian tertinggi, beliau berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat bersama Majlis
Keselamatan Negeri pada minggu lalu.
Katanya, beberapa perancangan dan pelan
tertentu dalam tindakan, namun sebahagiannya perlu mendapatkan kelulusan Majlis
Keselamatan Negara (MKN).
“Kita akan cuba membantu MKN kerana ketika
ini suasana berbeza, memandangkan Selangor dan beberapa negeri mencatatkan kes
tertinggi, terutama membabitkan pekerja kilang dalam kalangan warga asing yang
disaring.
“Sebelum ini, mereka (pekerja asing) tidak
disaring. Apabila Selangor antara negeri mewajibkan pekerja asing disaring,
akhirnya kita mendapat kes tinggi,” katanya.