Isu Twitter SKMM: Beberapa persoalan wajar dijawab

 

Oleh Roketkini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa berterus terang mengenai akaun Twitter suruhanjaya tersebut iaitu @SKMM_MCMC.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan, berkata, beberapa persoalan wajar dijawab berhubung isu akaun berkenan iaitu:

1. Adakah benar akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti yang didakwa?

2. Sekiranya benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi?

3. Sekiranya ia diambil alih,  adakah benar terdapat bayaran yang terlibat? 

4. Adakah bayaran yang dikatakan oleh pengguna media sosial, @NazruiHakim dibuat oleh SKMM, dan berapa jumlah yang dibayar?

5. Jika SKMM ada membuat bayaran, adakah ia melalui proses perolehan kerajaan yang betul dan telus?

“Isu ini melibatkan sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa yang meluas dan mengawal selia industri komunikasi dan juga interaksi sosial orang awam di atas talian. 

“Oleh itu, persoalan-persoalan ini harus dijawab oleh SKMM dan juga KKMM. Pihak SKMM dan KKMM digesa untuk berterus-terang mengenai akaun Twitter @SKMM_MCMC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, akaun Twitter SKMM kecoh selepas warganet menangkap layar ciapan yang berbaur jelik yang dipercayai dibuat oleh akaun tersebut antara tahun 2013 sehingga 2014.

Dalam pada itu, seorang pemilik akaun Twitter yang ingin dikenali sebagai Nazruihakim dilaporkan mendakwa dia tidak menyangka akaun miliknya itu yang dijual pada usia kira-kira 15 hingga 16 tahun itu bertukar menjadi akaun rasmi SKMM.